ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka kehilangan penjaga gol utama mereka, Kalamullah Al-Hafiz selepas pemain kebangsaan itu dikatakan akan menyertai Selangor FC pada jendela perpindahan kedua yang kini dibuka.
Menurut sumber dalaman pasukan, perpindahan Kalamullah ke Lembah Klang sudah hampir pasti berlaku.
“Difahamkan ketika ini kedua-dua belah pasukan hanya menanti masa untuk mengumumkan perpindahan pemain itu.
“Khabarnya Kalamullah turut mendapat tawaran dari salah sebuah pasukan di Borneo namun memilih Selangor FC sebagai destinasi seterusnya, bagi mengukuhkan lagi barisan benteng pasukan The Red Giants,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jika benar perpindahan itu terjadi, skuad utama KDA FC hanya boleh mengharapkan kepada Ifwat Akmal Chek Kassim untuk menjaga gawang setelah seorang lagi penjaga gol, Fikri Che Soh menamatkan kontrak lebih awal sebelum ini.
Tindakan Fikri kembali ke pangkuan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dipercayai turut didorong oleh ‘keperluan’ untuk mendapatkan lebih minit permainan setelah dia terpaksa bersaing hebat dengan Kalamullah serta Ifwat untuk diberi peluang beraksi.
Dalam keadaan KDA FC masih dikenakan ‘transfer ban’, Sang Kenari nyata tidak boleh berharap untuk menandatangani pemain baharu sebaliknya hanya mampu ‘menaik taraf’ pemain dari skuad muda bagi dijadikan penjaga gol kedua serta ketiga.
Situasi itu sudah tentu menambah derita KDA FC yang ketika ini terpalit dengan isu tunggakan gaji selama enam bulan setengah hingga menyebabkan kalangan pemain skuad utama, memboikot sesi latihan serta perlawanan menentang KL City FC, esok.
Berikutan itu, KDA FC tidak mempunyai pilihan melainkan menurunkan para pemain bawah 23 tahun untuk berdepan KL City.-UTUSAN










