KUALA LUMPUR: Mengejutkan ramai menerusi khabar perpisahan, pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin terus menjadi bahan bualan hangat warganet yang tampil dengan pelbagai spekulasi tersendiri berhubung keretakan rumah tangga mereka.
Lebih mengejutkan kerana perpisahan itu terjadi dengan menyaksikan aktres jelita itu sendiri yang bertindak memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga bapa anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
Menerusinya, ia sekali gus memberi bayangan seolah-olah desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka itu berpunca daripada satu gosip terdahulu membabitkan Fattah.
Ini kerana, baru-baru ini, Fattah menjadi bahan bualan ramai di media sosial apabila dia didakwa sebagai pelakon lelaki yang dikatakan berlaku curang dan menjalin cinta dengan penata gaya isterinya yang juga merupakan seorang selebriti terkenal.
Tidak cuma itu, keretakan rumah tangga mereka juga seakan benar-benar terjadi kerana masing-masing dilihat tidak lagi mempamerkan gambar bersama sebagaimana lazimnya dilakukan mereka sebelum ini.
Meskipun belum mendedahkan perkara sebenar, berbanding Fazura, Instagram Fattah bagaimanapun lebih hebat dihujani komen berbaur cemuhan dan kata makian warganet.
Rata-rata mengekspresi rasa tidak puas hati dan kemarahan mereka kepada Fattah kononnya dia seorang lelaki yang tidak bersyukur memiliki wanita secantik Fazura sehingga tergamak berlaku curang dengan wanita lain.
Bagaimanapun, sebelum ini, ketika ditanya pihak media, kedua-duanya menafikan berlakunya kemelut dalam rumah tangga mereka.
Malah, ketika ditemui media pada majlis pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sini, pada 22 Julai lalu, Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi rumah tangga bergolak, sambil menjelaskan hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.
Fazura dilapor menjelaskan, dia dan Fattah bahagia dan gosip mendakwa rumah tangga bermasalah hanyalah andaian semata-mata. – UTUSAN










