Bos sebenar penjawat awam adalah rakyat

Bos sebenar penjawat awam adalah rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak Datuk Seri, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022, antara misi beliau ialah membawa reformasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Penyampaian perkhidmatan awam itu meliputi hal eh­wal tadbir urus di semua agensi kerajaan untuk menawarkan khidmat tanpa birokrasi, berintergriti dan pantas sete­rusnya memberi keselesaan dan keyakinan kepada rakyat.

Contoh mudah mengenai sistem pemyampaian kepada rakyat adalah seperti orang awam berkunjung ke Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendidikan Daerah mahupun negeri, hospital, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selama ini ramai tidak tahu atau tidak berani untuk menegur kelemahan di agensi-agensi kerajaan yang tidak selari dengan matlamatnya. Staf di kaunter-kaunter kerajaan sepatutnya melayan, memahami, jadi pemudah cara sehingga isu dibawa pelanggan selesai.

Namun, apa yang dilalui sebelum ini, ada kalangan rak­yat merungut, kecewa dan tidak selesa untuk berurusan di jabatan kerajaan kerana sistem penyampaian diguna pakai tidak memudahkan malah lebih buruk tidak mesra selain kakitangannya seolah-olah menunjukkan kuasa bahawa mereka adalah bos jadi anda kena ikut apa dikatakan.

Justeru, sepanjang urusan antara orang awam dan penjawat awam tidak harmoni sehingga ada yang melabelkan kakitangan kerajaan terlebih sudu dari kuah dan ada pula mendakwa mereka makan gaji buta.

Contoh, anda pergi ke pejabat tanah di sebuah negeri atau pejabat imigresen di mana-mana cawangan tetapi malangnya nombor giliran habis. Sebagai orang biasa kita akur perlu datang keesokan harinya. Jika tidak berpuas hati sekali pun kita sekadar merungut dengan diri sendiri kerana kita tetap kena berurusan dengan pejabat kerajaan untuk menyelesaikan isu kita. Jika anda berjaya mendapat nombor giliran sekalipun jangan gembira sangat kerana belum tentu isu dibawa anda boleh selesai pada hari sama. Maklumlah pengisian borang dan serahan dokumen kadang-kadang membebankan. Ramai yang melalui pengalaman sudah bawa MyKid atau MyKad, petugas kaunter minta pula surat beranak asli.

Kadang-kadang tercetus persoalan, apa guna sistem bio­metrik dalam sistem kerajaan jika tidak boleh digunakan? Ini antara contoh birokrasi kecil atau biasa yang dihadap rakyat setiap kali berurusan di kaunter kerajaan.

Sebelum ini, banyak kaunter kosong, atau kakitangan seperti hanya duduk di kaunter tanpa memanggil pelanggan. Itu antara pemandangan biasa sebelum ini. Jika ada pelanggan yang berani bertanya, jawapan petugas dengan muka teramat yakin `encik atau puan kena tunggu’.

Namun sejak Anwar memperkenalkan aspirasi Kerajaan Madani dan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sehingga 15 peratus, sedikit demi sedikit urusan penjawat awam di agensi- agensi kerajaan menunjukkan perkembangan positif. Antara usaha yang terserlah apabila bos-bos imigresen mula turun mengejut ke beberapa cawangan imigresen. Ketika tinjauan itu orang nombor satu dan nombor dua imigresen itu tidak pula berlagak macam bos malah sangat prihatin dengan masa menunggu pelanggannya.

Dari situ, penjawat awam di semua agensi dimohon sila buang jauh-jauh perasaan ‘superior’ ketika berurusan dengan pelanggan sebaliknya diganti mereka adalah pekerja kepada rakyat dan rakyat adalah bos kepada mereka.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia  – UTUSAN

×