PETALING JAYA: Personaliti radio, Halim Othman menyifatkan tindakan boikot stesen radio yang melakukan gurauan terhadap pemimpin negara sebagai keterlaluan.
Halim atau Abdul Halim Othman, 59, berpendapat, usikan Khairy Jamaluddin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu siaran pagi tidak mempunyai maksud jahat berunsur fitnah.
“Saya rasa tidak wajar dan agak keterlaluan gerakan boikot dilakukan hanya kerana video gurauan itu.
“Ia hanyalah sebuah sketsa yang dilakukan Khairy meniru gaya pertuturan Perdana Menteri demi memancing undi.
“Oleh sebab Khairy juga ahli politik, caranya berucap seperti itu sangat menarik dan juga relevan. Ini kerana ia cara yang klasik di mana pemimpin sanggup buat apa sahaja demi memenangi undi. Bukan Anwar Ibrahim sahaja,” katanya.
Halim mengulas tindakan segelintir warga maya mahu memboikot stesen radio Hot FM kerana seorang daripada deejay, Khairy Jamaluddin didakwa meniru gaya pertuturan Perdana Menteri ke-10.
Tidak hanya itu, Halim juga merasakan segelintir masyarakat agak beremosi sedangkan gurauan sedemikian adalah perkara biasa dilakukan di luar negara.
“Sebenarnya gurauan seperti ini adalah benda biasa di luar negara.
“Saya pun tidak fikir Perdana Menteri akan terasa hati dengan gurauan itu. Jika sampai boikot, itu adalah reaksi berlebihan daripada orang sekeliling.
“Cuma untuk berhati-hati, stesen radio boleh menyampaikan jenaka dengan cara lain,” tambahnya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin yang juga bekas menteri Kabinet tersenarai dalam pencalonan awal bagi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular kali ini.
Khairy Jamaluddin mengendalikan segmen pagi Bekpes Hot di Hot FM bersama Fara Fauzana, AG dan Johan sejak Februari tahun lalu. – UTUSAN











