KEBARANGKALIAN adik kepada Pengerusi DAP dan bekas Ketua Menteri Pulau , Lim Guan Eng bakal dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu adalah perkara yang tidak mustahil.
Lim Hui Ying selaku ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan pada ketika ini juga bertindak sebagai Setiausaha DAP Negeri dilihat bakal meneruskan cengkaman dinasti Lim seperti mana yang dipraktikkan semenjak tertubuhnya parti berkenaan.
Teori berkenaan diandaikan bersandarkan kenyataan rasmi Setiausaha Agung DAP bahawa Chow Kon Yeow akan kekal sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.
Ini secara jelas membawa maksud bahawa sesiapa sahaja calon yang layak khususnya Hui Ying bakal menerajui DAP Pulau Pinang walaupun berstatus sebagai ahli Parlimen.
Pada hemat saya, walaupun terdapat beberapa nama pemimpin besar berkepentingan yang layak, namun hakikat sebenar individu berkenaan hanya akan menduduki barisan jawatan kuasa negeri sahaja.
Pihak kepimpinan DAP boleh menafikan andaian saya ini jika ia tidak betul serta lebih bersopan sekiranya dapat mengesahkan tiada istilah cengkaman dinasti Lim di negeri ini.
Malah atas sifat demokrasi perpaduan berbilang kaum yang kononnya diamalkan oleh parti berkenaan, maka tidak salah jika pemimpin bukan Cina diberikan peluang bagi menerajui DAP Pulau Pinang. Antara calon yang layak ialah Zairil Khir Johari. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK










