ZUS Coffee dapat pelaburan RM250j dari KWAP, dua firma - Utusan Malaysia

ZUS Coffee dapat pelaburan RM250j dari KWAP, dua firma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali rangkaian kopi yang dipacu teknologi, ZUS Coffee memperoleh pelaburan bernilai RM250 juta daripada konsortium melibatkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KV Asia Capital dan Kapal Api Group.

Sementara itu, Ernst & Young Malaysia pula bertindak sebagai penasihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi urus niaga yang bakal membuka lembaran baharu dan batu loncatan kepada pertumbuhan ZUS Coffee.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZUS Coffee, Ian Chua berkata, pihaknya mengalu-alukan rakan kongsi baharunya dan berharap dapat bekerjasama dalam mengukuhkan rancangan pengembangan antarabangsanya.

Katanya, perkongsian ini bukan sahaja akan mengembangkan perniagaan kopi terasnya tetapi juga menyokong langkah pengendali rangkaian kopi itu ke dalam bidang baharu seperti barangan pengguna bergerak pantas (FMCG)

“Dengan pendekatan didorong teknologi perkongsian kami, kami komited untuk menjadikan kopi istimewa boleh diakses, berpatutan dan menarik.

“Visi kami adalah untuk mewujudkan ZUS Coffee sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, berkongsi komitmen Malaysia terhadap kualiti dan komuniti kepada penggemar kopi di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pihaknya berbangga menjadi rakan kongsi konsortium untuk menyokong jenama Malaysia itu ke peringkat seterusnya dalam pertumbuhan.

“Di tanah air, tumpuan akan diberikan untuk membantu ZUS Coffee mengukuhkan kehadirannya dengan mengembangkan rangkaian kedainya di seluruh negara dan menyumbang secara berterusan kepada masyarakat melalui penciptaan pekerjaan dan inisiatif tempatan.

“Di peringkat antarabangsa, kami teruja untuk membantu jenama itu mengembangkan jejaknya ke pasaran baharu di seluruh dunia, seterusnya memacu ZUS Coffee dan Malaysia sebagai pemain penting di persada dunia,” ujarnya.

ZUS Coffee bermula secara sederhana dari sebuah kedai di Kuala Lumpur pada 2019 ketika sebelum pandemik Covid-19, dengan setakat Ogos 2024, bilangan kedainya di Malaysia meningkat 31 kali ganda kepada 550.

Hari ini, jenama itu mengendalikan 600 kedai di serantau dan terus mengembangkan portfolio kedainya secara agresif di Malaysia.

Pada 2023, ZUS Coffee membuka kedai pertamanya di Filipina dan telah menyaksikan penerimaan yang kukuh terhadap jenama dan produknya.

ZUS Coffee mengendalikan kini 50 kedai di Filipina dan ingin menjadi peneraju pasaran di negara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pasaran baru seterusnya ialah Singapura dan Brunei, yang mana mereka akan membuat kemunculan sulungnya antara September dan akhir tahun ini.

ZUS Coffee pada masa ini juga sedang dalam perbincangan aktif dengan bakal rakan kongsi di pasaran antarabangsa yang lain dan menjangka dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan merentasi geografi baharu pada 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×