Bukan Islam tak relevan ulas isu halal - Nurul

Bukan Islam tak relevan ulas isu halal – Nurul

UMNO Melayu
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hanya orang Islam yang berhak memberi ulasan berhubung isu halal dan sebarang kritikan atau cadangan diberikan oleh individu beragama lain disifatkan sebagai tidak relevan.

Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim tidak sepatutnya bercakap mengenai pensijilan halal apatah lagi cuba mengaitkannya sebagai beban kepada pengusaha restoran Melayu.

“Pensijilan halal bukan sekadar satu beban, tetapi ia adalah tanggungjawab moral dan agama untuk memastikan makanan yang dijual kepada umat Islam memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

“Mereka (bukan Islam) tidak memahami keperluan dan sensitiviti agama Islam. Membuat kenyataan yang mengaitkan pensijilan halal dengan beban perniagaan atau imej negara di luar hanya menunjukkan ketidakfahaman mendalam tentang kepentingannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh menegaskan kenyataan dibuat berhubung isu pensijilan halal adalah maklum balas terhadap cadangan yang dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP itu menjelaskan, kenyataannya pada 6 September lalu hanya untuk menyuarakan pendapat supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula cadangan tersebut.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani terus menempelak Teresa Kok yang cuba mengaitkan ulasannya dengan semangat kepelbagaian budaya dan mendakwa isu tersebut boleh menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Jika benar kita serius mahu menjaga keharmonian negara dan menghormati agama majoriti, maka Teresa Kok seharusnya senyap daripada mengulas isu yang jelas di luar pengetahuannya.

“Sensitiviti agama adalah perkara yang tidak boleh dipandang remeh, dan campur tangan daripada pihak yang tidak memahami hanya akan memburukkan lagi keadaan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×