ANCAMAN mikroplastik antara topik hangat dibincangkan sebab tanpa sedar, kita semualah yang menjadi penyumbang kepada pencemaran ini.
Pencemaran ini terhasil daripada produk plastik seperti botol dan beg plastik yang kita pakai dalam urusan seharian.
Tindak balas kimia menyebabkan berlaku ancaman mikroplastik yang boleh mencemarkan alam sekitar dan ia pasti berbalik kepada diri kita sendiri sebagai pengguna.
Pencemaran ini masuk ke dalam air yang menjadi sumber makanan ikan dan apabila kita makan ikan itu, kita pasti menerima impak negatifnya.
Penemuan paling mengejutkan ialah bila rakyat Malaysia dikatakan makan miroplastik yang boleh disamakan sebesar sekeping kad kredit dalam seminggu.
Agaknya antara punca kita selalu berasa tidak sihat dan hormon tidak stabil ialah daripada bahan plastik inilah juga.
Cara mengelakkan pencemaran ialah jangan pakai langsung produk plastik.
Atau kita kena giatkan lagi proses kitar semula. Supaya sisa dan bahan kita tidak diperlukan diproses dengan lebih sempurna.
Asingkan plastik dan kaca sebelum membuang sampah supaya ia boleh diproses dengan sempurna, sebabnya sifatnya yang sukar lerai dan makan beratus tahun untuk lupus sepenuhnya.
Solusinya sebenarnya kita sudah tahu tetapi barangkali masih janggal dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.
Kalau kita mahu pergi membeli, siapkan awal-awal beg untuk meletak barang kita beli. Beli makanan pun sama. Setiap hari kita makan, bawa bekas dan letak dalam beg.
Pilihan yang ada bukan sama ada mahu rajin atau tidak, tetapi wajib dilakukan sebab pencemaran ini kian tenat.
Lebih-lebih lagi gaya hidup kita yang banyak menggunakan plastik. Tak rasa bersalahpun menjinjing berpuluh beg plastik sewaktu membeli belah di kedai, pasar malam, mahupun secara dalam talian.
Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia dengan satu pertiga daripadanya hanya digunakan sekali, manakala kurang 10 peratus dikitar semula.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik dibuang ke tasik, sungai dan laut setiap tahun, menyamai muatan penuh dari lebih 2,000 lori sampah dibuang ke lokasi berkenaan setiap hari.
Pencemaran plastik boleh dikurangkan sebanyak 80 peratus menjelang 2040 jika manusia bertindak mengguna semula, mengitar semula dan mengelak menggunakannya.
Sisa plastik ini sebenarnya bala dan malapetaka yang ada depan mata tetapi kita tidak sedar mengenai atau berpura-pura tidak ambil tahu.
Ia membahayakan kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta mencemarkan setiap ekosistem dari puncak gunung hingga ke dasar lautan. Masihkah kita mahu tunggu dan lihat?
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia











