Pelabuhan Bagan Datuk tunggu kapal dagang berlabuh

Pelabuhan Bagan Datuk tunggu kapal dagang berlabuh

Kakitangan pengurusan Pelabuhan Bagan Datuk menunjukkan muara Sungai Perak iaitu laluan masuk ke pelabuhan tersebut. – UTUSAN/AIN SAFRE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pelabuhan Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini menunggu kapal dagang pertama berlabuh apabila operasi di pelabuhan itu dibuka semula selepas ditutup pada 2020 akibat penularan Covid-19.

Antara kemudahan disediakan di pelabuhan itu ialah terminal feri menghubungkan Hutan Melintang dengan Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia. Feri kebia­saannya menjadi pengangkutan utama pekerja negara jiran berulang-alik setiap kali musim perayaan.

Kemudahan lain sebuah jeti kargo dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) turut terdapat di pelabuhan itu yang diuruskan oleh syarikat Ghadaf Marble Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan Ghadaf Marble, See Mei Qi berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mengendalikan kapal dagang yang mahu menggunakan perkhidmatan di pelabuhan itu.

Menurut beliau, kargo dari luar negara boleh mendaratkan ikan dan hasil laut di pelabuhan itu selain perkhidmatan feri menghubungkan Bagan Datuk dan Indonesia.

Katanya, kemudahan jeti kargo berkenaan membolehkan aktiviti import dan eksport hasil laut serta hasil pertanian dijalankan.

“Kami amat mengalu-alukan kapal dagang yang mahu menggunakan perkhidmatan pelabuhan ini, namun setakat ini pelabuhan ini belum lagi menerima kapal dagang luar negara walaupun sudah dibuka.

“Baru-baru ini sepatutnya kami menerima kehadiran kapal luar pertama dari Indonesia yang menggunakan perkhidmatan di pelabuhan ini. Namun kapal tersebut tidak dibenarkan ke negara ini, difahamkan kerana kepten kapal tidak memenuhi syarat ditetapkan oleh Jabatan Laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mengenai dakwaan perairan cetek untuk kapal kargo mema­suki pelabuhan, Mei Qi berkata, keadaan itu memang berlaku tetapi ia boleh diatasi.

“Buat masa ini kedalaman air di pelabuhan ini ialah tiga meter dan jika berlaku masalah untuk kapal masuk ke pelabuhan di­sebabkan perairan cetek, kami mempunyai kapal korek untuk mengorek lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×