KYIV: Panglima Angkatan Tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi menyifatkan, strategi tenteranya di Kursk, Russia sebagai berjaya kerana berhasil memaksa musuh melancarkan serangan di wilayahnya sendiri.
Dalam satu temu bual dengan CNN semalam, beliau berkata, tindakan memindahkan pertempuran ke wilayah musuh dibuat supaya Russia dapat merasakan apa yang penduduk Ukraine rasakan setiap hari.
“Strategi kami berjaya mengurangkan ancaman serangan musuh. Kami menghalang mereka daripada bertindak,” kata Syrskyi dalam temu bual pertamanya selepas mengetuai pasukan tentera Ukraine pada Februari lalu.
Beliau pada masa sama turut mendedahkan butiran terperinci signifikan tindakan Ukraine di Kursk antaranya untuk menghentikan Russia daripada menggunakan Kursk sebagai tapak pelancaran serangan baharu.
Tambahnya, operasi ketenteraan itu juga dibuat bagi mengalihkan perhatian tentera Moscow dari kawasan lain, untuk mewujudkan zon keselamatan dan menghalang tembakan merentasi sempadan.
Syrskyi dalam pada itu berkata, pihaknya berada di bawah tekanan besar di Pokrovsk, yang telah menjadi pusat perang di timur Ukraine selama beberapa minggu, namun tenteranya berjaya menyekat kemaraan Russia di kawasan tersebut.
“Dalam enam hari terakhir, musuh tidak maju satu meter pun ke arah Pokrovsk. Dengan kata lain, strategi kami berkesan,” katanya.
Bulan lalu, tentera Ukraine melancarkan serangan ke Kursk dalam satu tindakan yang turut mengejutkan Amerika Syarikat.- AGENSI










