WASHINGTON: Seorang anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela selepas mengunjungi negara tersebut hujung bulan lalu, dedah agensi berita CNN.
Menurut pegawai pertahanan, anggota tentera yang juga warganegara AS itu ditahan pada 30 Ogos lalu di Caracas, dipercayai oleh agensi perisikan Venezuela, SEBIN.
“Kami menerima laporan menyatakan tentera laut AS itu ditahan sekitar hujung bulan lalu oleh pihak berkuasa Venezuela semasa perjalanan peribadi ke sana.
“Tentera Laut AS sedang menyiasat perkara ini dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar,” demikian menurut pegawai.
Pegawai lain pula berkata, anggota tentera tersebut yang tidak dinamakan, bukan dalam perjalanan rasmi semasa mengunjungi negara itu.
Tidak jelas mengapa dia ke Venezuela.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Venezuela untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi tersebut.
Kementerian Luar turut memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak mengunjungi Venezuela, memandangkan terdapat risiko tinggi penahanan yang salah terhadap warganegara AS.
Penahanan itu dibuat ketika AS dan Venezuela berselisih selepas Washington merampas sebuah pesawat yang digunakan oleh Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan mengangkutnya dari Republik Dominica ke Florida selepas mendapati pembeliannya melanggar sekatan negara ini.
Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan berkata, pesawat Dassault Falcon 900EX berharga AS$13 juta (RM56.6 juta) itu dibeli secara haram melalui sebuah syarikat dan diseludup keluar dari AS untuk kegunaan Maduro dan sekutunya.











