WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa dua kakitangan syarikat media Russia dan menyekat sebanyak 32 domain Internet digunakan negara itu dalam usaha mengekang penyebaran berita palsu oleh Moscow menjelang Pilihan Raya Presiden, November ini.
Peguam Negara, Merrick Garland memaklumkan, pihaknya mendakwa warganegara Russia, Kostiantyn Kalashnikov, 31, dan Elena Afanasyeva, 27, atas kesalahan menyalahi Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA) dan konspirasi penggubahan wang haram.
Menurut beliau, kedua-duanya yang juga kakitangan syarikat media RT, masih diburu dan pejabat mereka di Daerah Selatan di New York telah disita.
Garland berkata, Kalashnikov dan Afanasyeva didapati membiayai sebuah syarikat pencipta kandungan di Tennessee untuk menerbitkan hampir 2,000 video propaganda Russia dan syarikat tersebut tidak menyedari ia dipergunakan oleh Moscow.
Dalam satu tindakan lain, AS turut menyekat penggunaan 32 domain Internet yang digunakan oleh Kremlin untuk menyebarkan propaganda Russia dan melemahkan sokongan global terhadap Ukraine.
Arab News melaporkan, langkah-langkah tersebut dilakukan kerajaan pimpinan Presiden Joe Biden untuk menggagalkan ancaman berterusan dari Russia yang telah lama diberi amaran oleh pegawai AS kerana berpotensi menimbulkan perpecahan dan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Washington menyatakan, Rusia adalah ancaman utama kepada pilihan raya walaupun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) giat menjalankan siasatan pencerobohan oleh Iran terhadap kempen calon Presiden dari Parti Republikan, Donald Trump dan cubaan menggodam kempen Naib Presiden, Kamala Harris.
Agensi perisikan tempatan sebelum ini mendakwa Russia menggunakan maklumat salah untuk campur tangan dalam pilihan raya AS.- AGENSI











