Penjara 15 tahun liwat banduan dalam sel tahanan

Penjara 15 tahun liwat banduan dalam sel tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang banduan reman kekal menjalani hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan empat sebatan ke­rana melakukan seks luar tabii terhadap seorang lelaki yang berkongsi sel tahanan dengannya di Penjara Sungai Buloh, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim Mah­kamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian terhadap bekas pekerja kilang, S. Kalidas, 37, secara sebulat suara selepas menolak rayuan ­akhirnya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukum­nya pada 5 Ogos 2021 serta Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengesahkannya pada 25 Julai 2022.

Di hadapan panel ber­kenaan yang bersidang pada 5 Januari lalu, Kalidas hanya merayu terhadap hukuman.

Mahkamah memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 28 November 2018.

Dalam penghakiman itu, Hakim Azmi berkata, Hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah atau keterlaluan ketika menjatuhkan hukuman terhadap banduan tersebut.

“Kes-kes jenayah seksual sangat keji dan mengaibkan. Pastinya kejadian liwat yang menimpa mangsa dalam sel tahanan penjara menjadi titik hitam yang sukar dipadam.

“Perbuatan seks luar tabii berlaku dalam sel tahanan penjara yang mempunyai kawalan dan peraturan ketat dan perayu sempat ‘menangguk di air keruh’ dan mengintai peluang bagi memuaskan nafsunya.

“Perbuatan itu bukan sahaja mencemar nama baik pihak penjara yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kebajikan penghuni­nya, malah banduan-banduan lain turut terkena tempias,’’ ujar Hakim Azmi dalam penghakiman tertulis bertarikh kelmarin yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, semalam.

Kalidas disabitkan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 12 Oktober 2018 di sebuah sel di Penjara Sungai Buloh dekat sini.

Kedua-dua lelaki berkenaan ketika itu merupakan banduan reman yang ditahan di penjara atas pertuduhan berkaitan dadah dan belum dijatuhkan hukuman manakala sel tahanan itu turut dihuni enam lelaki lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×