Penduduk Taman Suria, Kluang perlukan dewan serbaguna, masjid

Penduduk Taman Suria, Kluang perlukan dewan serbaguna, masjid

ZAINAL ABIDIN Ariffin menunjukkan lokasi yang digazetkan sejak tiga tahun lalu sebagai tempat pembinaan sebuah masjid di Taman Kiaramas, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Penduduk di beberapa taman perumahan termasuk Taman Suria, di sini merayu kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah dewan serbaguna yang mampu menampung kegunaan lebih ramai penduduk.

Seorang penduduk Taman Suria, Zainal Abidin Ariffin, 65, berkata, hingga kini kawasan penempatan berkenaan hanya mempunyai empat balai raya yang hanya mampu menampung kira-kira 50 orang pada satu-satu masa.

Justeru, penduduk mencadangkan kawasan yang sesuai dibina dewan serbaguna itu adalah di Taman Sri Suria 1, iaitu di sebidang tanah lapang yang kini dijadikan sebagai padang permainan.

“Satu lagi kawasan di tanah kosong berhadapan Taman Pe­langi Indah, dipercayai juga milik kerajaan yang kini hanya menjadi hutan belukar,” katanya.

Katanya, beberapa taman perumahan di kawasan tersebut mempunyai kira-kira 12,000 penduduk namun tidak mempunyai kemudahan untuk me­lakukan aktiviti dalam kelompok besar.

Menurut Zainal Abidin, penduduk turut memohon pertimbangan untuk pembinaan sebuah masjid bagi kegunaan kira-kira 4,000 jemaah kerana masjid terdekat, iaitu Masjid Jalan Haji Manan atau Kampung Melayu Nyior terletak kira-kira lima kilometer.

Katanya, tapak untuk pembinaan masjid itu sudah digazetkan sejak tiga tahun lalu, namun masih belum mendapat peruntukan untuk melaksanakannya dan hanya bergantung harap kepada sebuah surau yang hanya mampu menampung kira-kira 600 jemaah pada satu-satu masa.

“Kami amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan keperluan rakyat di sini kerana dengan adanya kemudahan-kemudahan ini secara tidak langsung membantu masyarakat melaksanakan pelbagai aktiviti secara bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×