PETALING JAYA: Harga saham Steel Hawk Bhd. meningkat dua kali ganda apabila ia mula diniagakan di Pasaran ACE Bursa Malaysia selepas penawaran awam permulaan (IPO) berjaya mengumpulkan RM13.5 juta.
Saham penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas itu melonjak kepada 30 sen sesaham, meningkat 100 peratus berbanding harga IPO sebanyak 15 sen sesaham.
Pada pukul 10.15 pagi, saham tersebut diniagakan pada 36.5 sen selepas mencapai paras tertinggi pagi sebanyak 38.5 sen. Dengan 84.05 juta saham bertukar tangan, Steel Hawk merupakan sekuriti paling aktif didagangkan di pasaran.
Steel Hawk ialah syarikat pertama yang menjalani pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE, di bawah rangka kerja pemindahan pasaran baharu.
Ia menyaksikan permintaan kukuh semasa IPOnya, dengan tawaran terlebih langgan sebanyak 276.83 kali iaitu kadar langganan tertinggi setakat tahun ini.
Steel Hawk sebelum ini mengumumkan akan menggunakan RM7 juta daripada hasil IPO untuk membina kawasan fabrikasi tambahan di Kemaman, Terengganu bagi meningkatkan kapasiti fabrikasi keseluruhannya sebanyak lima kali ganda daripada 13 tan metrik (MT) kepada 65MT sebulan.
Tambahan RM2 juta daripada hasil tersebut pula akan digunakan untuk membiayai modal kerja dengan membeli bahan mentah seperti paip, kelengkapan dan struktur.
Selain itu, kumpulan itu akan memperuntukkan RM1 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki RM3.5 juta akan digunakan untuk menampung perbelanjaan pemindahan penyenaraian.
Berdasarkan harga IPO sebanyak 15 sen sesaham dan jumlah saham terbitannya sebanyak 490 juta saham, modal pasaran Steel Hawk pada penyenaraian adalah kira-kira RM73.50 juta. – UTUSAN










