Binastra Corporation terima kontrak pembinaan RM283 juta - Utusan Malaysia

Binastra Corporation terima kontrak pembinaan RM283 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Binastra Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, Binastra Builders Sdn. Bhd. memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM283 juta untuk projek pangsapuri di Kuala Lumpur.

Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, Binastra Corporation berkata, kontrak untuk kerja-kerja bangunan utama itu diperoleh daripada Kaisar Maxim Sdn. Bhd. pada hari ini.

Katanya, kontrak ini akan bermula pada 17 September 2024 dan akan diselesaikan dalam masa 32 bulan dari tarikh permulaan.

“Kontrak ini meliputi kerja-kerja bangunan utama dengan cadangan pembangunan yang terdiri daripada tiga blok pangsapuri (624 unit) dengan 31 tingkat, termasuk empat aras podium dan lima aras bawah tanah untuk tempat letak kereta bersama-sama dengan satu unit Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Blok A melibatkan 208 unit, Blok B (208 unit) dan satu unit pangsapuri pemaju di aras atas bumbung, Blok C (208 unit) di Lot 481970 (Fasa 1) di Kuala Lumpur,” katanya.

Binastra Corporation berkata, kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang.

“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 hingga 2028,” ujarnya.

Tambahnya, para pengarah syarikat berpendapat bahawa penerimaan kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik untuk syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×