PETALING JAYA: Saham YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd terjejas hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta maklumat daripada anak syarikat YTL Power, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) berhubung Projek 1Bestarinet.
YTL Power mengesahkan perkara itu semalam, sambil menambah YTL Comms memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, dan menyatakan kepercayaan bahawa perkara itu akan diselesaikan dengan memuaskan.
Pada 3.35 petang ini, saham YTL jatuh 31 sen kepada RM2.69 manakala, YTL Power susut 22 sen kepada RM3.61.
Dalam satu laporan, sumber dipetik sebagai berkata ‘penyiasatan tertumpu kepada ‘tuntutan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion’.
Menurut YTL Power, Projek 1Bestarinet telah dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah tender terbuka membabitkan 19 syarikat yang membuat tawaran untuk projek itu.
YTL Comms dipilih sebagai bidaan yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif.
Projek terbabit telah disahkan oleh KPM sebagai siap pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia didagangkan agak rendah sedikit pada tengah hari, terjejas disebabkan penjualan saham-saham YTL.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.40 mata kepada 1,668.84 berbanding 1,670.24 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks itu dibuka tinggi 0.31 mata kepada 1,670.55 dan bergerak antara 1,677.46 dan 1,666.88 sepanjang sesi pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 664 berbanding 293, dengan 423 kaunter tidak berubah, 1,075 tidak diniagakan dan lapan digantung. Jumlah dagangan sebanyak 1.9 bilion unit bernilai RM1.63 bilion. – UTUSAN










