MELAKA: Setelah hampir tiga tahun menyepi daripada arena politik berikutan gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengesahkan akan kembali aktif.
Norhizam yang cukup dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya ‘YB Viral’ dan ‘Aku YB ke kau YB’ membuat kemunculan pertamanya atas pentas Perikatan Nasional (PN) di Kampung Bertam Ulu di sini, Ahad lalu bersama bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norhizam berkata, beliau dipelawa oleh Mohamad Ali untuk memperkukuhkan PN di Melaka terutamanya di Pengkalan Batu yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Rakyat hari ini khususnya di Melaka memerlukan seorang pemimpin yang lantang bersuara tidak mengira apa juga isu. Saya bersifat sebegitu, semua orang tahu saya tidak pernah takut untuk bercakap yang benar.
“Saya telah buat keputusan untuk kembali aktif, Mohamad Ali pelawa saya untuk bersama bagi membantu PN terutamanya di DUN Pengkalan Batu. Kalau kita lihat sekarang Sidang DUN Melaka sendu, tiada siapa yang bawa isu-isu rakyat, maka ramai minta saya kembali,” katanya ketika dihubungi.
Norhizam merupakan salah seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada 4 Oktober 2021.
Pada PRN Melaka, Norhizam yang bertanding atas tiket Bebas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Noordin dengan majoriti 131 undi.
Norhizam memperoleh 1,218 undi, Kalsom (4,839); calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris (2,681); calon Pakatan Harapan (PH), Muhamad Danish Zainudin (4,708) dan calon Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Aluwi Sari (82).
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada akan menyertai Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Norhizam berkata, perkara itu tidak menjadi keutamaannya buat masa ini kerana kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.
“Parti ini hanya wadah, bagi saya apa yang lebih penting adalah untuk memperjuangkan hak rakyat, hak orang Melayu. Soal parti ini bila sudah sampai masanya, saya akan umumkan. Apa yang pasti adalah bukan DAP,” jelasnya. – UTUSAN










