PETALING JAYA: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan hari antaranya terpaksa menyelam dalam posisi berbaring di ruang sempit dalam lurang kumbahan yang dipenuhi gas beracun yang boleh merisikokan nyawa.
Itu antara pengalaman terpaksa dilalui hampir semua daripada 29 penyelam bomba yang menyertai SAR bagi mencari wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang bernam di Masjid India di sini pada 23 hingga 31 Ogos lalu.
Menurut Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd. Nazri Abidin yang menyelia pasukan penyelam di lokasi kejadian, semua 29 penyelam bomba yang terlibat dalam SAR mencari mangsa tidak terlepas melakukan kerja yang merisikokan nyawa mereka.
Katanya, sepanjang operasi SAR tersebut sangat menguji keupayaan mental dan dan fizikal setiap anggota bomba yang perlu merancang dan mengatur strategi untuk melakukan SAR dalam tempoh sembilan hari itu.
“Antara strateginya, setiap anggota perlu menyelam kira-kira 30 minit kemudian ditukar kepada penyelam lain. Paling banyak selaman dilakukan dalam satu-satu operasi iaitu membabitkan empat penyelam.
“Cabaran SAR apabila anggota terpaksa menyelam dalam ‘manhole’ yang ruangnya sempit kira-kira 1.5 diameter namun ia menjadi lebih kecil apabila ia dipenuhi batu-batu yang jatuh ke `manhole’ selain bendasir-bendasir (sampah) yang mengeras.
“Ia menyebabkan setiap selaman hanya mampu dilakukan seorang anggota malah penyelam terpaksa masuk operasi di ‘manhole’ dilakukan dalam keadaan berbaring tanpa ruang untuk memusingkan badan mereka (penyelam),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazri yang bertugas sebagai tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara itu berkata, tugasnya sebagai penyelia bagi memastikan penyelam sentiasa dilindungi dengan pakaian kelengkapan atau ‘dry suit’ daripada rambut ke hujung kaki.
“Ini bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan gas-gas beracun dalam pembentung selain air tidak akan terkena pada penyelam.
“Penyelam juga disalurkan bekalan oksigen dari atas kerana mereka tidak perlu membawa tangki oksigen ketika menyelam,” katanya.
Katanya, walaupun kecewa apabila SAR wanita warga India itu tidak dapat diteruskan namun faktor-faktor keselamatan perlu diutamakan.
“Sepanjang operasi, kami selalu tempatkan diri kami sebagai ahli keluarga, niat kami untuk mencari mangsa namun sebagai anggota penyelamat, kita perlu selamatkan nyawa diri sendiri dahulu.
“Sekiranya kami dapat sampai ke halangan dikesan serta memecahkan bendasir-bendasir itu dengan tekanan air yang sangat tinggi sehingga 100 tan metrik, kebarangkalian boleh insiden lain umpama ‘kepala air’ dalam lubang itu.
“Ia sangat berisiko kepada penyelam dan anggota bomba di lokasi kejadian namun tidak dapat dinafikan SAR di Masjid India antara operasi yang sangat menguji kami,” kata beliau..
Pada 31 Ogos lalu, media melaporkan Vijaya Lakshmi, 48, terjatuh dalam tanah bernam sebelum operasi digerakkan serta-merta sebelum ditamatkan pada 31 Ogos lalu.
SAR ditamatkan demi keselamatan anggota walaupun wanita warga India tidak ditemukan.
Selain bomba, SAR turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Agensi Nuklear Negara. – UTUSAN










