Selangor kekal antara pengeksport terbesar negara

Selangor kekal antara pengeksport terbesar negara

HAZIMAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor kekal sebagai salah satu pengeksport terbesar Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM203.66 bilion dari Januari hingga Julai 2024.

Ahli Lembaga Pengarah Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Hazimah Zainuddin berkata, angka mengagumkan itu mengekalkan kedudukan negeri itu sebagai pengeksport ketiga terbesar di negara ini, memberi sumbangan besar kepada prestasi perdagangan Malaysia.

“Kehebatan ekonomi Selangor juga tercermin dalam landskap pelaburannya. Pada suku pertama 2024, negeri ini menarik pelaburan sebanyak RM12.4 bilion, menjadikannya negeri ketiga tertinggi dalam negara.

“Pelaburan-pelaburan ini yang melibatkan 415 projek, telah mencipta 20,701 peluang pekerjaan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai ekonomi terbesar Malaysia dengan aktiviti ekonomi yang mencatatkan rekod melebihi RM400 bilion pada 2023,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pada 2023, prestasi eksport Selangor amat ketara, mencatatkan RM332.79 bilion dan menyumbang 23.3 peratus daripada jumlah eksport negara, menjadikannya penyumbang ketiga terbesar.

“Pencapaian-pencapaian ini adalah sebahagian daripada keutamaan strategik yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan meletakkan Selangor sebagai salah satu negeri paling maju.

“Menurut Pangkalan Data Pengeksport Malaysia (MER), sehingga Ogos 2024, Selangor mempunyai bilangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tertinggi, dengan jumlah 6,927 yang merangkumi 50.3 peratus daripada 13,774 syarikat yang berdaftar dengan Matrade.

“Selangor juga merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM406.1 bilion atau 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023 berbanding 25.5 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Hari Eksport Selangor yang bermula semalam di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bertujuan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai penyumbang utama kepada eksport negara dan sebagai hab utama bagi sektor pembuatan dalam pelbagai industri.

“Penganjuran Hari Eksport Selangor 2024 diharapkan dapat mempertingkatkan jumlah perdagangan negeri tersebut serta mewujudkan lebih banyak syarikat yang terbabit dalam perniagaan eksport,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×