PETALING JAYA: Warga Palestin kini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan vaksin polio susulan rejim Zionis yang berterusan menyerang negara itu, terutamanya di wilayah Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, petugas kesihatan juga tidak terkecuali daripada serangan tentera Israel.
“Usaha membawa vaksin adalah melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi kesihatan lain. Namun, keadaan yang tidak stabil akibat serangan Zionis menyebabkan proses pemberian vaksin menjadi sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Jismi berkata, usaha untuk mendapatkan gencatan senjata antara dua negara itu juga belum mendapat kata putus.
“Israel sentiasa menukar terma dalam gencatan senjata walaupun sudah dipersetujui oleh Hamas pada perundingan sebelum ini.
“Usaha Amerika Syarikat (AS) dalam menjadi orang tengah kepada gencatan senjata juga gagal memujuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk bersetuju dengan gencatan senjata, sekali gus mengakhiri konflik yang berlaku,” katanya.
Portal berita antarabangsa, Al-Jazeera sebelum ini melaporkan, tentera Israel terus menggempur Gaza dengan menyasarkan kawasan berhampiran sebuah hospital di tengah Deir Al-Balah yang menyaksikan sekurang-kurangnya 43 penduduk Palestin terbunuh.
Sejak 7 Oktober 2023, seramai 40,819 rakyat Palestin telah terbunuh dan 94,291 cedera dalam perang Israel di Gaza manakala dianggarkan 1,139 orang terbunuh di Israel dalam serangan yang dilancarkan Hamas.











