BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn memperkenankan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra.
Pelantikan barisan 36 anggota Kabinet termasuk 12 muka baharu itu diumumkan dalam Warta Diraja, hari ini.
Parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn mendominasi Kabinet baharu dan mengekalkan Menteri Kewangan semasa, Pichai Chunhavajira dan Menteri Luar, Maris Sangiampongsa.
Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai mengambil alih portfolio pertahanan dan menetapkan penasihat utama Pheu Thai dan bekas Menteri Tenaga, Pichai Naripthaphan sebagai menteri perdagangan.
Pheu Thai mempunyai 17 jawatan Kabinet, termasuk menteri dan timbalan menteri, dengan baki 19 jawatan dibahagikan kepada rakan gabungan.
Paetongtarn, 38, dipilih menjadi Perdana Menteri termuda Thailand dan wanita kedua memegang jawatan tersebut, bulan lalu, menggantikan Srettha Thavinsin.
Beliau adalah anak perempuan bongsu kepada bekas Perdana Menteri berpengaruh, Thaksin Shinawatra, yang dilihat masih memegang kuasa di belakang tabir.
Paetongtarn adalah ahli keempat dalam keluarganya yang memegang jawatan tersebut, dengan tiga yang lain digantikan melalui rampasan kuasa atau keputusan mahkamah.- REUTERS










