GEORGE TOWN: Selepas sekian lama berteka teki, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akhirnya mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada sesi pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan berlangsung 22 September ini.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau menerima surat makluman mengenai pencalonannya daripada DAP Pusat pada 27 Ogos lalu, namun, memutuskan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.
“Seperti amalan saya sebelum ini, saya akan cakap apabila sampai masa yang terbaik (untuk bercakap). Saya telah menerima surat daripada DAP Pusat mengenai pencalonan saya, namun, setelah dipertimbang, saya memutuskan untuk tidak menerima pencalonan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Pada sesi pemilihan DAP Pulau Pinang tiga tahun yang lalu, Kon Yeow telah dipilih menjadi Pengerusi DAP negeri dengan undian tertinggi, iaitu selepas memiliki majoriti sebanyak 1,211 undi dan untuk rekod, beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Naib Presiden DAP Kebangsaan berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan berkenaan memandangkan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu nanti mempunyai lebih masa untuk memimpin parti itu.
Selain itu, katanya, apabila dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri pada tahun 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan beliau untuk menyediakan pelan peralihan kepimpinan.
“Oleh itu, saya telah memutuskan untuk mengambil langkah pertama dalam pelan peralihan ini bagi memberi ruang kepada pemimpin baru untuk dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri yang baharu pada sesi pemilihan jawatankuasa negeri tahun ini.
“Masa ini adalah sangat sesuai kerana Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu nanti akan mempunyai lebih daripada tiga tahun untuk memimpin dan mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jawatan Ketua Menteri yang disandang beliau ketika ini selepas beliau memutuskan untuk tidak bertanding pada sesi pemilihan kali ini, Kon Yeow berkata, perkara itu akan diputuskan oleh parti sendiri.
“Soalan ini perlu dijawab oleh parti (DAP). Semasa lantikan saya ke jawatan Ketua Menteri, Setiausaha Agung (Anthony Loke) ada komen bahawa ini adalah penggal penuh saya dan tidak ada pertukaran jawatan pada pertengahan penggal.
“Jadi terpulang kepada parti. Jawatan Ketua Menteri dilantik parti, maka, parti yang akan putuskan kalau ada apa-apa perubahan,” katanya.
Tambah Kon Yeow, keputusan untuk tidak bertanding itu juga bukan bermakna beliau telah bersara daripada politik memandangkan beliau masih menjawat jawatan Naib Presiden DAP Kebangsaan dan ahli cawangan DAP ketika ini.-UTUSAN










