166,000 penjawat awam dijangka keluar dari B40

166,000 penjawat awam dijangka keluar dari B40

Kerajaan diminta menaikkan bonus atau pemberian khas kepada penjawat awam jika KDNK melonjak. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 166,000 daripada 554,335 penjawat awam yang berada dalam kategori B40 dijangka dapat keluar dari kumpulan itu susulan kenaikan gaji lebih 13 peratus diumumkan baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, peningkatan gaji secara berfasa bermula Disember ini dapat membantu mengurangkan beban hidup mereka.

“Tetapi kena pandai uruskan (kewangan) supaya tidak jadi miskin. Jangan pula tambah hutang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama, beliau memberitahu, lebih 500,000 penjawat awam B40 menurut rekod Kementerian Kewangan setakat 17 Julai itu dilihat membimbangkan dalam mendepani kehidupan ekonomi mencabar pada masa kini.

Jelasnya, ini kerana kesan kos sara hidup mempengaruhi sosio dan kesihatan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Sebab kalau tidak cukup duit, penjawat awam terpaksa buat kerja lebih. Selain itu, kesannya kepada ketirisan.

“Ketirisan akan berlaku juga walaupun kita boleh kawal sebab duit (adalah) segala-galanya,” ujarnya.

Pada 16 Ogos lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan pela­rasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional secara berfasa bermula 1 Disember depan.

Pelarasan gaji pegawai kumpulan pengurusan tertinggi pula diberikan sebanyak tujuh peratus.

Pelaksanaan itu dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa 1 pada 1 Disember nanti manakala fasa 2 pada 1 Januari 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, julat peningkatan pendapatan akan diterima penjawat awam adalah 16.8 peratus hingga 42.7 peratus mengambil kira faedah berganda.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan kenaikan gaji diumumkan bulan lalu membantu mengurangkan beban kos sara hidup dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, ini terutama penjawat awam yang berada dalam kategori B40 khususnya mereka yang memperoleh gaji minimum sekitar RM2,000.

Bagaimanapun, katanya, ke­rajaan disaran turut memberi perhatian aspek lain khusus­nya peningkatan elaun per­khidmatan awam dan kenaikan gaji tahunan (KGT).

“Setiap tahun ada kenaikan gaji, tetapi dalam jumlah yang kecil dan tidak boleh mena­ngani kos sara hidup.

“Setiap tahun ada kenaikan paling minimum RM80. Kadar (kenaikan) gaji tidak sampai dua peratus, namun kos sara hidup meningkat hampir empat hingga lima peratus.

“Mahu beli rumah pun sukar. Kos rumah sekitar RM300,000, gaji kecil, hutang bayar rumah pun sudah RM1,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×