WARSAW: Lebih 66,000 anggota tentera Rusia terkorban dalam peperangan di Ukraine seperti dilaporkan oleh saluran media bebas Rusia, Mediazona dan BBC.
Angka itu dikira sejak kes kematian dicatatkan pada Februari 2022 bersama-sama sukarelawan lain yang terlibat dalam operasi khas ketenteraan di Ukraine.
Jumlah itu direkodkan menggunakan maklumat sumber terbuka daripada laporan rasmi dan media, serta menggunakan imej satelit tanah perkuburan Russia.
Pada April lalu, saluran media itu mengumumkan lebih 50,000 nama rakyat Rusia yang terbunuh berjaya ditemukan.
Mediazona berkata, pihaknya mengetahui nama 66,471 askar Rusia yang terkorban dalam peperangan sehingga 30 Ogos lalu.
Senarai itu dikatakan meningkat lebih 4,600 dalam tempoh empat minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan angka yang sahih kerana banyak kematian askar tidak didedahkan kepada umum.
Wartawan Mediazona, Anastasia Alekseyeva melaporkan angka kematian terkini tidak dikaitkan dengan serangan Ukraine di wilayah Kursk atau kemaraan Russia di timur.
Laporan itu mendapati seramai 172 individu yang wajib menjalani khidmat negara terbunuh dalam peperangan.
Berdasarkan kiraan Mediazona, wilayah dengan jumlah kematian mutlak terbesar adalah republik selatan Bashkortostan, yang mempunyai penduduk Muslim yang besar dengan 2,578 kematian.
Secara keseluruhannya, kumpulan umur paling banyak diwakili ialah 33 hingga 35 tahun dengan 6,877 kematian.
Lebih 12,000 mangsa yang maut adalah banduan, selepas Russia berusaha untuk merekrut banduan dengan menjanjikan mereka kebebasan selepas tempoh tertentu di barisan hadapan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, hampir 700,0000 askar Rusia bertempur di Ukraine.
Moscow jarang bercakap tentang kerugian yang dialaminya dalam ‘operasi ketenteraan khas itu. -AFP











