Kuala Lumpur selamat - PM

Kuala Lumpur selamat – PM

ANWAR Ibrahim melawat pelan pembinaan Kerian Integrated Green Industri Perak di Ladang Tali Ayer, Tapak KIGIP Fasa 1, Kerian, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat meskipun berlaku beberapa kes mendapan tanah sekitar bandar raya itu sejak seminggu yang lalu.

Menurut Perdana Menteri, kajian teknikal di kawasan insiden tanah jerlus telah dilaksanakan ketika ini, malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memfokuskan kepada lokasi yang perlu diperkukuhkan.

“Tanah mendap itu sudah dibuktikan menerusi kajian teknikal dan tidak ada masalah setakat ini.

“Saya juga lalu kawasan terbabit, cuma, kawasan yang dianggap perlu diperkukuh itu, kita buat segera.

“Selain itu, pihak DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa juga telah memantau serta meneliti ‘progress’ (kes mendapan ta­nah) pada setiap hari.

“Setakat ini, belum ada kegu­saran dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mengunjungi Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung dakwaan orang ramai yang berpendapat Kuala Lumpur adalah lokasi yang tidak selamat ketika ini.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Kubang Semang, di sini selepas menjamu selera serta menyantuni penduduk setempat di Kedai Tok, bersebelahan masjid berkenaan.

Jumaat lepas, seorang pelancong wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchu­my, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Dua hari lalu, satu lagi tanah mendap dikesan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus terbabit.

Terdahulu di PARIT BUNTAR, Anwar mengarahkan kelulusan sesuatu projek pembangunan untuk rakyat dan pelaburan asing perlu dipercepatkan.

Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan malah sudah dibuktikan menerusi pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dalam tempoh yang singkat.

Katanya, Perbadanan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang membangunkan KIGID mendapat tekanan luar biasa termasuk daripada beliau sendiri apabila memberikan tarikh untuk projek tersebut dilancarkan.

Menurut beliau, namun projek berkenaan berjaya dilancarkan hari ini atas kerjasama kerajaan negeri yang memberikan kelulusan pembangunan dalam masa yang cukup pantas.

“Projek ini (KIGID) kita bagi kelonggaran. Kita sudah buktikan dengan kesediaan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang memberi kelulusan segera. Saya ingat ini satu rekod yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Maknanya kalau kita betul-betul ada keputusan, jalankan dengan ikhlas, kita boleh segera luluskan. Seperti projek perumahan yang saya luncurkan (di Kuala Lumpur) semalam, ba­yangkan projek 800 unit rumah setinggi 40 tingkat, tapi de­ngan semua syarat-syarat yang ketat namun diluluskan dalam tempoh 45 hari. Kenapa perlu tunggu sampai 45 bulan untuk diluluskan?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×