PETALING JAYA: Zhuhai CosMX Battery Co Ltd, pengeluar global bateri litium-ion pengguna dan bateri litium-ion berkuasa merancangan untuk membina kilang pembuatan pertamanya di Kedah bernilai RM1 bilion.
Kemudahan baharu di bawah Unimx Technology Malaysia Sdn. Bhd. itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian Timur Kulim, dengan majlis pecah tanah dijangka bermula pada suku terakhir 2024.
Pelaburan yang besar ini menandakan satu kejayaan penting dalam strategi pengembangan global syarikat, ke arah meningkatkan keupayaan pembuatannya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen bateri litium-ion di seluruh dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz, berkata, pelaburan RM1 bilion Zhuhai CosMX jelas menegaskan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk syarikat berasaskan teknologi, tetapi juga sebagai sebuah negara yang serius terhadap pelaksanaan pantas komitmen pelabur.
“Dorongan kuat MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk perniagaan berkembang maju telah menghasilkan peningkatan aliran pelaburan, lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, serta rangsangan yang lebih kukuh kepada rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport semikonduktor kita.
“Pelaburan ini juga sejajar dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk meningkatkan kerumitan ekonomi industri kita, sambil membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan utama untuk Asean dan Asia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata, pihaknya teruja dengan projek ini, yang bakal mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan dan meningkatkan tenaga kerja mahir dan keupayaan teknologi negara kita.
“Merevolusikan teknologi bateri bukanlah tugas yang mudah, tetapi MIDA berbangga untuk menyokong dan memudahkan Zhuhai CosMX dalam perjalanan yang bercita-cita tinggi ini. Kepakaran canggih mereka akan memberi kesan riak yang besar pada ekosistem tempatan kita.
“Sebagai rakan kongsi, kami komited untuk menyediakan Zhuhai ÇosMX dengan sokongan dan kemudahan yang mereka perlukan untuk projek itu berjaya dan kami yakin kehadiran mereka akan memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CosMX, Xu Yanming berkata, beliau menyatakan kegembiraan dan kebanggaan yang amat besar dalam pelaburan yang akan datang untuk membina kilang bateri litium-ion di Malaysia.
“Ini menandakan satu langkah penting dalam penggunaan strategik global kami dan merupakan bukti pengiktirafan dan kepercayaan kami terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MITI, MIDA dan Invest Kedah atas sokongan dan bantuan mereka.
“CosMX sentiasa berpegang kepada konsep pembangunan hijau, komited untuk mengurangkan kesan alam sekitar melalui inovasi teknologi dan peningkatan industri. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan komuniti Malaysia untuk membina kilang ini menjadi projek model, mencapai kejayaan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga menetapkan penanda aras dalam mempromosikan pembangunan mampan,” katanya. – UTUSAN










