BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand hari ini mengesahkan tiga pekerja asing yang terperangkap di dalam terowong runtuh di timur laut Thailand, meninggal dunia.
Dua mangsa dari China dan seorang warga Myanmar sebelum ini dilaporkan masih hidup selepas terperangkap di dalam terowong yang sedang dalam pembinaan di Tambon Chan Thuek, daerah Pak Chong, Nakhon Ratchasima, Sabtu lalu.
Pihak berkuasa mengumumkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia dan siasatan awal mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kekurangan udara.
Terowong yang sedang dalam pembinaan dan merupakan sebahagian daripada projek kereta api berkelajuan tinggi Thailand-China itu runtuh akibat tanah runtuh sekitar 11.40 malam (waktu tempatan).
Pasukan penyelamat, terdiri daripada pegawai Keretapi Negara Thailand (SRT) dan pasukan tindak balas bencana China, bekerja tanpa henti sepanjang minggu lalu untuk menyelamatkan mangsa.
Mereka cuba mengepam oksigen ke dalam terowong untuk menyelamatkan pekerja, namun tidak pasti sama ada tiub yang digunakan sampai kepada mangsa.
Khamis lalu, anggota penyelamat menemukan mayat seorang pemandu lori Burma tertimbus di bawah timbunan tanah dan batu.
Menurut SRT, mayat dua pekerja China, seorang penyelia dan pengendali jentera penggali, ditemukan sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan, hari ini.
Laporan tempatan mendakwa, penyelamat hampir sampai hanya satu meter dari salah seorang mangsa pada Rabu lalu,
Pada hari sama, mereka dikatakan mendengar bunyi lemah yang dipercayai datang daripada mangsa tersebut.
Pengimbas dan anjing pengesan juga mengesan tanda-tanda vital, termasuk degupan jantung, memberi harapan bahawa pekerja terperangkap mungkin masih hidup.
Namun, usaha menyelamat berjalan perlahan berikutan tanah runtuh berterusan, tanah yang jatuh terus menghalang lubang yang dibuat oleh penyelamat untuk masuk lebih dalam ke terowong.
Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, penyelamat perlu berhati-hati supaya penggalian tidak menyebabkan bahagian lain terowong runtuh.
Katanya, penyelamat perlu membina struktur sokongan setinggi tiga meter untuk keselamatan mereka sendiri.
“Tiada siapa yang mahu kejadian ini berlaku. Kami tidak hanya cuba menyelamatkan nyawa mangsa, tetapi juga memastikan keselamatan anggota penyelamat,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.- BBC










