KAJANG: Seorang pemain badminton remaja negara didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan memukul anjing peliharaannya, Julai lalu.
Hakim Mazualina Abdul Rashid mengenakan denda tersebut selepas Samuel Lee, 21, yang dituduh sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya selain tertuduh juga diperintah penjara enam bulan jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, Lee didakwa memukul seekor anjing baka Husky dengan tangan secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya di Landmark Residence, Kajang di sini, pada pukul antara 12.09 hingga 12.19 pagi, 1 Julai lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut bawah Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda minima RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Difahamkan anjing berkenaan masih dalam jagaan Jabatan Veterinar.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran mencadangkan OKS dikenakan hukuman berat diberikan sebagai pengajaran.
“Perbuatan Orang Kena Saman (OKS) yang kejam memukul anjing Husky hingga mengalami kemurungan perlu (diberikan) hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan teladan kepada anak muda.
“Kes ini mendapat liputan luas dan menimbulkan kemarahan orang awam, menunjukkan perlunya tindakan serius jenayah terhadap haiwan dan mempertimbangkan kepentingan awam dalam hukuman,” katanya.
Peguam S. Rajashree yang mewakili Lee memohon hukuman denda yang minimum atas alasan anak guamnya merupakan seorang pemain badminton profesional dan mempunyai tanggungan keluarga.
Mengikut fakta kes, pada 2 Julai 2024, pihak penyelamat haiwan mengambil anjing tersebut untuk rawatan di klinik veterinar yang mana ia didapati mengalami trauma dan ketakutan ekstrem.
Pada 3 Julai, pegawai kebajikan haiwan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor melawat rumah OKS tetapi mendapati beliau tiada di rumah.
Anjing Husky tersebut, dikenali sebagai Kitster, disimpan di Kota Damansara Veterinary Centre untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan menunjukkan Samuel Lee telah melanggar Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan melakukan penganiayaan terhadap haiwan.











