TATKALA ramai merungut tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat banyak aktiviti dan rentas negeri, berbeza dengan perenang maraton, Ridzwan A. Rahim. Beliau melakar sejarah berenang secara solo dari Pulau Perhentian hingga ke Pantai Bukit Keluang Besut, Terengganu sejauh 19.087 kilometer (km) menerusi catatan masa 8 jam 56 minit 30 saat, 21 Mac lalu.
“Saya tekad merentasi lautan kerana memiliki sifat ingin tahu mengenai renangan di laut selain mencabar diri.
“Alhamdulillah pencapaian ini adalah hasil sokongan pasukan dan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini. Temu bual itu turut disertai jurulatih peribadinya, Shauqie, Aziz.
Ridzwan menjayakan misi itu menerusi projek Perhentian Channel Solo Swim 2021. Suatu inisiatif dibangunkan bersama rakan sepasukan diketuai Abdul Razak Abdul Aziz.
Bekas wartawan akhbar New Straits Times itu sebelum ini menyertai renangan solo mengelilingi Pulau Perhentian Besar pada 2017.
Sebagai persediaan, beliau perlu memastikan tahap kecergasan fizikal pada tahap terbaik.
Mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk melatih ketahanan fizikal supaya boleh bertahan di dalam air selama lebih 10 jam. Melibatkan diri dengan menyelam skuba sejak 2008, antara faktor beliau memiliki deep water confidence yang tinggi.
“Saya perlu berenang hampir setiap hari. Setiap kali turun, saya berenang selama dua hingga enam jam tanpa henti. Disiplin tidur juga kena jaga.
“Saya melatih diri bangun awal sekitar jam 4.30 pagi setiap hari kerana renangan di Pulau Perhentian dijadualkan pada jam 4 pagi. Saya mempunyai jadual latihan ketat dan tidak banyak masa untuk bersosial atau melakukan aktiviti lain,” jelasnya.
SEDIA BANTU
Ditanya tips kekal sihat dan cergas, Ridzwan memberitahu, bersukan perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup, bukan sesuatu yang kita buat hanya bila ada semangat seperti awal Tahun Baharu atau atas nasihat doktor.
Berenang merupakan rutinnya sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
“Saya akan ke kolam renang berlatih bersama skuad MySwim antara jam 6.30 pagi hingga 8 pagi. Saya juga berlari 5km dan melakukan aktiviti jump rope (atau skipping) selama setengah jam atau lebih untuk mengekalkan kecergasan jantung,” katanya.
Seperti orang lain, Ridzwan juga pernah mengalami kegagalan tetapi itu tidak mematahkan semangatnya menyertai renang maraton. Dia pernah gagal menghabiskan renangan 12 km di Tasik Putrajaya dalam tempoh cut-off time.

“Saya terpaksa menamatkan renangan dan naik bot penganjur. Puncanya saya kurang berlatih pada minggu sebelumnya dan juga terlupa untuk ambil sarapan pada pagi sebelum renangan.
“Daripada kegagalan itu, saya belajar bahawa persediaan untuk renangan maraton (10km atau lebih) perlu dibuat dengan serius, bukan main-main,” katanya.
Justeru, latihan dan pemantauan daripada jurulatih banyak membantu kejayaannya kali ini.
Ridzwan turut menggalakkan serta bersedia membantu sesiapa sahaja yang mahu melakukan renangan ini.
“Bagi mereka yang ingin menyertai renangan air terbuka atau maraton, dapatkan jurulatih yang berpengalaman. Bukan semua jurulatih renang boleh mengajar sukan ini,” katanya.

PENCAPAIAN
Minatnya dalam berenang bermula dengan menyelam skuba pada 2008. Pada 2009, beliau membuat persijilan PADI Open Water Scuba Diver.
“Ia belum cukup bagus sebagai perenang. Jurulatih scuba saya pada masa itu, Dolphin Lee, mengajar saya berenang sehingga mampu berenang dengan selesa di kolam renang.
“Pada 2013, saya mula menceburi renangan air terbuka. Acara pertama yang saya sertai adalah Kapas Marang International Swimathon, iaitu renangan sejauh 6.5km dari Pulau Kapas ke tanah besar Terengganu,” katanya.
Sejak itu, renangan membawa beliau hingga ke San Francisco (Amerika Syarikat), Kepulauan Galapagos (Ecuador) dan Pattaya (Thailand).
“Setakat pengetahuan saya, saya satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah berenang dari Pulau Alcatraz ke bandar raya San Francisco dalam air sejuk 15 darjah Celsius tanpa gunakan wetsuit.
“Saya juga pernah terlibat dengan projek renangan merentas Selat Melaka sejauh 40 hingga 50km pada 2018,” katanya.
PENGORBANAN
Renangan maraton memerlukan kos tinggi melibatkan bayaran kepada bot pengiring, penginapan, bayaran krew dan sebagainya.
Malah tidak mudah merancang projek dalam suasana pandemik Covid-19 dengan segala ketidaktentuan dan sekatan pergerakannya.
“Halangan terbesar ialah penutupan kolam renang semasa PKP. Sedangkan saya perlu berlatih berenang secara berterusan selama hampir tiga bulan. Setiap kali ada halangan, perlu kreatif dalam menyelesaikan masalah.
“Di tengah-tengah semua sekatan pandemik. Ia merupakan satu keajaiban kerana saya dan pasukan berjaya ke Pulau Perhentian untuk menjayakan rancangan tersebut.
“Cabaran ini saya sifatkan sebagai pengalaman dan ilmu baharu serta penghormatan kepada air terbuka. Semua ini tidak akan terjadi jika saya tiada krew sokongan yang hebat,” katanya.
BEZA KOLAM DAN LAUT
Renangan kolam renang dengan laut amat berbeza. Cuaca sejuk, angin dan binatang liar seperti obor-obor, justeru mereka perlu menguasai teknik renangan.
Shauqie berkongsi kegembiraan kejayaan Ridzwan memandangkan perancangan dilakukan dalam masa yang singkat bermula Disember tahun lalu.
“Sebagai perenang maraton, banyak perkara yang menjadi penentu daya tahan termasuk pemakanan dan tidur yang cukup.
“Saya akan pastikan Ridzwan cukup latihan fizikal sekurang-kurangnya berenang 13km iaitu kira-kira enam jam setiap hari.
“Alhamdulillah selepas perancangan rapi, Ridzwan dan pasukannya tidak menempuh banyak masalah sepanjang renangan sejauh 19km ini. Cuaca baik, laut tenang dan pasang surut air serta tiupan angin nampaknya membantu,” katanya.
Lebih membanggakan Shauqie, kejayaan Ridzwan ini merupakan satu anjakan besar yang bukan sahaja akan menjadi sumber inspirasi kepada perenang tempatan tetapi juga mampu menarik perenang maraton luar negara.











