KLANG: Pelabuhan Klang diyakini berupaya mencapai sasaran menjadi 10 pelabuhan tersibuk di dunia tahun ini apabila mencatatkan peningkatan kendalian kontena dagangan import dan eksport sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelabuhan itu meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-11 tahun lalu mengikut Lloyd List, baru-baru ini.
“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, pelabuhan itu hanya dibezakan 400,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) dengan Pelabuhan Hong Kong,” katanya selepas merasmikan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, semalam.
Jelasnya, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) perlu memastikan kelancaran semua fasilitinya bagi merealisasikan sasaran tersebut.
“LPK perlu membantu menyelesaikan masalah operasinya secepat mungkin. Apabila ia selesai, sudah tentu produktiviti akan meningkat,” ujarnya.
Tambah beliau, indikator positif ekonomi negara turut meliputi jumlah kendalian TEU import dan eksport di sektor pelabuhan negara meningkat peratus tahun ini.
“Sehingga tempoh Jun lalu, jumlah kendalian kontena negara meningkat 11 peratus iaitu 14.98 juta TEU berbanding 13.48 juta TEU pada tahun lalu.
“Pertumbuhan ini menunjukkan ekonomi negara semakin berkembang dan keperluan terhadap perkhidmatan pengangkutan dan logistik juga meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Siew Fook memaklumkan, objektif utama program latihan berkenaan bertujuan menangani isu kekurangan pemandu pengangkut (haulier).
“Program ini dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi Human Resource Development Corporation dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, LPK dan pihak berkuasa pelabuhan lain.
“Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) memutuskan supaya pelabuhan melatih 1,000 pemandu bagi memperoleh lesen E dan lesen vokasional GDL E bagi membantu mengatasi masalah kekurangan pemandu,” jelasnya. – UTUSAN











