Baju T ‘ikat dan celup’ bertema Jalur Gemilang laris

Baju T ‘ikat dan celup’ bertema Jalur Gemilang laris

SEORANG pekerja House Of Tie Dye, Shasuhaida Abdullah menunjukkan antara baju T ‘ikat dan celup’ yang dijual di kawasan riadah dan rekreasi Pantai Sura, Dungun, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Baju T bertemakan Jalur Gemilang yang menggunakan teknik tie dye atau lebih dikenali sebagai ikat dan celup mendapat permintaan tinggi sempena Bulan Kemerdekaan Ke-67.

Pemilik House Of Tie Dye, Saiful Naim Abdul Rani, 38, berkata, lebih 1,000 helai pakaian itu dijual dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Katanya, baju T yang dijual untuk setiap lapisan usia bermula bayi berusia enam bulan sehingga dewasa laris dijual terutama kepada mereka yang berkeluarga.

“Alhamdulillah baju T tie dye yang bertemakan Jalur Gemilang ini laris dan kita menyediakan baju yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Untuk bayi, kita ada ‘rom­per’ dan untuk golongan wanita kita ada baju lengan panjang, bagi mereka yang sukakan pakaian labuh, kita turut mengeluarkan baju T labuh untuk muslimah,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pantai Sura, dekat sini, semalam.

Saiful Naim berkata, selain di Pantai Sura, sebuah lagi cawangnya di Pasar Payang, Kuala Terengganu turut di­serbu pelanggan.

“Jualan di sekitar kawasan berdekatan pantai ini lebih menarik ramai pelanggan kerana suasananya yang lebih santai, bertepatan dengan tema pakaian itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Norhazita Harun, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli pakaian tersebut sempena kemerdekaan semasa percutiannya di negeri ini.

“Biasanya di pasaran, baju T tie dye ini banyak bercorak batik, namun kali ini berbeza dan coraknya pula sangat menarik. Saya membeli beberapa helai baju T ini untuk dijadikan buah tangan pulang ke ibu kota,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×