Peradaban Pulau Pinang mahu galeri untuk simpan, pamer koleksi lama

Peradaban Pulau Pinang mahu galeri untuk simpan, pamer koleksi lama

ABDUL Kader Md. Ali (tengah) bersama Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Kemerdekaan kali ke-67 anjuran Peradaban Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu (Peradaban) Pulau Pinang memohon kerajaan negeri membantu mereka mendapatkan sebuah premis bagi dijadikan galeri khas untuk persatuan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Kader Md Ali berkata, dengan adanya galeri itu nanti, ia boleh dijadikan tempat penyimpanan serta pusat pameran pelbagai barangan dan koleksi lama sebelum merdeka yang dimiliki oleh Peradaban Pulau Pinang.

“Sebenarnya, kami pernah mengemukakan kepada kerajaan negeri berkaitan galeri ini dua tahun lalu namun tiada maklum balas yang diterima.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk pengetahuan, kami mempunyai ratusan barangan dan koleksi lama terutama sebelum merdeka seperti katil pengantin diraja, gambar-gambar seniman Tan Sri P.Ramlee, periuk kukus nusantara, pinggan diraja dan pelbagai lagi. Sekarang ini semuanya diletakkan di beberapa lokasi untuk disimpan.

“Jadi, kami berharap kerajaan negeri dapat membantu menyediakan sebuah premis untuk kita letakkan barangan bersejarah ini bagi memudahkan orang ramai untuk melihat koleksi berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kemerdekaan kali ke-67 anjuran Peradaban Pulau Pinang.

SEBAHAGIAN daripada barangan atau koleksi lama yang berada dalam simpanan Peradaban Pulau Pinang ketika ini

Pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff telah dianugerahkan sebagai Tokoh Wira Merdeka Negara dan anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai sambutan bulan kemerdekaan pula, Abdul Kader berkata, pada masa ini, pihaknya mendapati generasi muda terutamanya mereka yang berada pada usia 20-an ke atas kurang menghayati semangat patriotik.

“Di peringkat sekolah rendah dan menengah, kita dapati semangat patriotik medan cintakan negara masih ada dalam kalangan para pelajar. Namun, semangat ini berkurangan sebaik sahaja mereka keluar dari sekolah,” katanya yang memberitahu, sepatutnya semangat kemerdekaan itu dihayati sepanjang masa dan bukannya di peringkat sekolah sahaja.

Sementara itu, Mohd. Yussoff juga mengakui bahawa pada masa ini, semangat patriotik dalam kalangan generasi muda semakin berkurangan.

“Sambutan merdeka ini bukan sekadar satu sambutan namun ia adalah untuk kita mengenang pengorbanan wira-wira negara terdahulu yang berjuang untuk kemerdekaan negara. Sepatutnya kita mengenang mereka sepanjang masa, bukan ketika bulan kemerdekaan sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini