Tanah jerlus: Peniaga bimbang perniagaan terjejas - Utusan Malaysia

Tanah jerlus: Peniaga bimbang perniagaan terjejas

PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi di tapak tanah jerlus yang mengakibatkan seorang wanita warga India hilang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebanyakan peniaga di kawasan kejadian tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini mengeluh apabila pelanggan mereka mula berkurangan sejak hari kejadian.

Seorang peniaga yang mahu dikenal dikenali Kenny, dia sudah menjalankan perniagaan telekomunikasi di sini sejak 19 tahun lalu dan kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu menyebabkan keadaan di sini sedikit suram.

Katanya, sejak kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, dia terpaksa menutup kedainya selama dua hari sebelum mula beroperasi semula hari ini.

“Hari ini, baru saya dapat buka semula kedai selepas tutup dua hari. Perniagaan kurang memberangsangkan sebab tidak ramai pelanggan yang datang.

“Mungkin mereka masih takut untuk membeli barangan keperluan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kenny turut berharap kerajaan dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu peniaga yang terkesan memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih berjalan.

“Harap ada bantuan daripada pihak kerajaan atau berkuasa setempat memandangkan kami perlu membayar sewa kedai. Jika tiada pelanggan, bagaimana kami mahu dapat duit,”jelasnya.

Sementara itu, seorang pengurup wang yang mahu dikenali sebagai Tahir turut menyuarakan berpendapat sama.

Katanya, kebiasaanya kedainya akan menjadi tempat tumpuan warga asing melakukan pertukaran wang khususnya pelancong dari warganegara India.

“Sejak kejadian itu, kawasan ini makin suram dan sudah tiada pelancong yang datang di sini. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Dalam kejadian pada Jumaat, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Sepasukan anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 8.22 pagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×