KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Khalid memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan notis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar tunggakan cukai berjumlah lebih RM313 juta.
Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Dahlan Saravana Partnership pada 19 Ogos lalu di di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pengurusan kes itu ditetapkan pada 3 September ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurut afidavit yang difailkan, Na’imah menyatakan LHDN melalui notis bertarikh 18 Januari lalu mempersoalkan mengenai kenaikan sahamnya dalam syarikat Ilham Baru Sdn. Bhd. serta mendakwa isteri Tun Daim Zainuddin itu menggunakan tiga aset di luar negara yang dibeli menggunakan menggunakan pendapatan tidak dilaporkan untuk membayar pinjaman antara Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Welberton Private Equity Corp.
Tiga aset tersebut ialah Hotel Nantasket Beach Resort dan sebuah pangsapuri bersebelahan hotel berkenaan di Massachusetts; bangunan pejabat Chauncy Place dan Hotel Buckminster and Annex di Boston yang dianggarkan bernilai lebih RM700.6 juta.
Dakwa Na’imah, responden mengambil nilai pasaran keseluruhan bagi tiga unit aset berkenaan iaitu lebih RM700 juta sebagai pendapatan yang tidak dilaporkan pada tahun 2018, namun pada 13 Ogos lepas, responden mengemukakan Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13.
Selain itu, aset-aset luar negara itu dibeli oleh suaminya pada tahun sekitar 1990 dan beliau tidak mempunyai akses kepada dokumen-dokumen berkaitan kerana aset-aset asing itu diperoleh lebih 30 tahun lepas.
Oleh itu, wanita itu mendakwa tindakan LHDN tidak mengikut undang-undang.









