Atlet gimnastik Orang Asli berjaya dalam Sukma - Utusan Malaysia

Atlet gimnastik Orang Asli berjaya dalam Sukma

NOORAZRUL Jamirul Jamrus (kiri) berkongsi kegembiraan bersama Mohd. Asrul Fitri selepas meraih emas dalam sukan gimnastik artistik bagi kategori melombol di Sukma Ke-21 Sarawak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejayaan yang diraih atlet, Noorazrul Jamirul Jamrus, 19, pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21, Sarawak baru-baru ini bukan hanya pingat emas tunggal buat kontinjen Negeri Sembilan dalam sukan gimnastik artistik.

Lebih menarik ia menjadi kejayaan bagi masyarakat Orang Asli di negara ini untuk berjaya dalam sukan berkenaan.

Menurut pengurus pasukan gimnastik artistik Negeri Sembilan ke Sukma baru-baru ini, Mohd. Asrul Fitri Muhammad Sutan Mudo, 37, kejayaan Noorazrul yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Sampo, Jempol bagi meraih emas dalam kategori melombol itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Beliau malahan berkata, Noorazrul sememangnya sebelum ini telah tampil cemerlang dengan beberapa kali meraih johan bagi kejohanan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Berkongsi kisah, Mohd. Asrul Fitri berkata, bakat yang ada pada Noorazrul telah dicungkilnya sejak di di sekolah rendah.

“Ketika itu Noorazrul Jamirul masih di tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sampo, Jempol, saya lihat dia mempunyai fizikal yang baik dan mempunyai keupayaan dalam sukan ini. Kemudian saya bina asas gimnastiknya dan seterusnya saya hantar dia ke Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang.

“Sejak itu, bakatnya terus terserlah dan sering muncul johan setiap tahun di peringkat MSSM dan sentiasa mengharumkan nama Negeri Sembilan dalam sukan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Asrul Fitri yang juga merupakan guru di SK Sungai Sampo memberitahu, keadaan fizikal Noorazrul yang kuat juga antara faktor pemuda dari suku Semelai itu boleh berjaya dalam sukan berkenaan.

“Memang saya perhatikan anak-anak Orang Asli ini mempunyai fizikal yang kuat dan tugas saya seterusnya menggilap bakat mereka supaya dapat berjaya di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, Noorazrul memberitahu, dia turut berbangga apabila mengetahui menjadi atlet Orang Asli pertama yang berjaya setakat ini di peringkat kebangsaan dalam sukan gimnastik artistik.

“Saya berterima kasih kepada Cikgu Asrul yang menggilap bakat saya malah beliau jugalah yang banyak membantu dalam perjalanan saya dalam sukan ini.

“Sasaran saya selepas ini sudah tentu pergi lebih jauh dalam sukan ini seterusnya mewakili dan meraih pingat buat negara dalam kejohanan antarabangsa. Selain itu saya berharap lebih ramai anak-anak Orang Asli turut dapat sama terlibat dalam gimnastik,” katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat Pra-Universiti di SSM Pahang di Gambang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×