BEIRUT: Bekas Perdana Menteri Lebanon, Salim Al Hoss yang pernah lima kali memegang jawatan tersebut meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Pengumuman sedih itu dibuat Perdana Menteri, Najib Mikati semalam, yang menyifatkan negara kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa.
“Beliau meninggalkan kita di saat Lebanon berdepan krisis yang sangat memerlukan kepakarannya,” kata Najib dalam satu pemberitahuan merujuk kepada konflik dengan Israel.
AP melaporkan, kebimbangan disuarakan Najib ialah ketegangan antara Lebanon dan Israel yang menyaksikan kedua-dua negara saling berbalas serangan yang ditakuti boleh bertukar menjadi perang.
Majlis menteri-menteri turut mengumumkan tiga hari berkabung bagi menghormati pemergian Salim.
Salim memegang jawatan Perdana Menteri selama empat penggal semasa negara berada dalam kancah perang saudara dari 1975 sehingga 1990.
Penggal terakhir beliau sebagai Perdana Menteri adalah pada 1998-2000.
Bekas Perdana Menteri, Saad Hariri turut menyifatkan Lebanon kehilangan sebutir permata yang banyak mengabdikan diri kepada negara. – AGENSI










