Menari tetap jiwa saya - Ucop - Utusan Malaysia

Menari tetap jiwa saya – Ucop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN kini kerjayanya lebih terarah kepada bidang lakonan, artis berbakat ini tidak dapat menafikan bahawa menari merupakan salah satu elemen penting dalam hidupnya. 

Kecintaan terhadap seni tarian sudah berakar umbi sejak masih di bangku sekolah. Setiap langkah, setiap rentak, telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan identiti dirinya yang tidak dapat dipisahkan. 

Ucop atau nama sebenarnya Mohd Yusuf Hashim, 31, menjadikan menari sebagai satu medium untuk meluahkan segala perasaan yang terkandung dalam dirinya. 

“Melalui tarian, saya boleh meluahkan dan mengekspresikan emosi saya tanpa perlu untuk marah atau menangis. Ia bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi satu cara untuk menyelami dan memahami makna kehidupan. 

“Bagi saya tarian ini menjadi saluran untuk melepaskan semua bebanan emosi. Jadi setiap pergerakan itu mempunyai menggambarkan segala apa yang saya lalui,” katanya ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini. 

Menurut pelakon drama Nuh dan Nayla itu, seni tari mengajar dia tentang ketabahan, disiplin, dan semangat juang dan bukannya sebagai hobi biasa sehingga mempengaruhi dirinya dalam dunia lakonan. 

“Menari bukan sekadar hobi tetapi satu komitmen yang telah mendidik saya untuk menjadi lebih tekun dan fokus dalam mengejar impian. 

“Tarian dan lakonan adalah dua cabang seni yang saling melengkapi, ia membentuk identiti saya sebagai seorang artis serba boleh. Melayangkan persoalan berkenaan hobinya, adakah menari mampu untuk memberikan pendapatan, Ucop menegaskan setiap seni mempunyai nilainya yang tersendiri. 

“Menari adalah satu bentuk seni yang bernilai. Setiap seni, termasuk tarian, boleh dijual dan dikomersialkan. 

“Saya sendiri pernah menjadikan tarian sebagai medium untuk mencipta kandungan kreatif, termasuk untuk iklan produk. Tarian memberi saya peluang untuk bereksperimen dengan pelbagai idea kreatif, menjadikan setiap kandungan yang saya tonjolkan unik dan berbeza,” ujarnya.

IDOLA UCOP

Pernah bergelar Raja Dubsmash pada awal kemunculannya akibat tular dengan perwatakan kelakar dan tarian yang menarik, Ucop tidak ketinggalan memiliki idola yang tersendiri dalam dunia seni tarinya. 

Menjadikan Pat Ibrahim sebagai inspirasi dari awal kemunculannya sehingga sekarang, dia mengagumi kebolehan yang dimiliki oleh Pat. 

“Saya berminat dengan orang yang serba boleh seperti Pat Ibrahim. Dia bukan sahaja boleh menari, malah berlakon dan mengarah dengan cemerlang. 

“Malah, dia seorang koreografer yang sentiasa menjayakan seni tari Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya. 

Selain itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut menjadikan bintang Hollywood, Lady Gaga sebagai idolanya. 

“Lady Gaga, artis yang bagi saya sangat serba boleh. Dia bukan sahaja boleh menyanyi tetapi seorang artis yang berani untuk mencuba perkara baharu. 

“Dia adalah contoh bagaimana seseorang artis boleh memanfaatkan bakat yang dimiliki untuk mencipta pengaruh besar dalam industri dari menari, menyanyi hingga berlakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×