Peniaga Pantai Klebang, Uptown Pahlawan Walk pasrah

Peniaga Pantai Klebang, Uptown Pahlawan Walk pasrah

SHADAN Othman bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong mendengar rintihan Pengerusi Persatuan Perpaduan Peniaga Pantai Klebang, Mohd. Ayub Alias (tiga dari kiri) sewaktu meninjau Pantai Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peniaga di dua kawasan yang terjejas akibat angin kencang pada malam Jumaat lalu iaitu di Pantai Klebang dan Uptown Pahlawan Walk di sini, pasrah dengan kejadian berkenaan, meskipun ia menyebabkan kerosakan khemah dan barangan jualan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, mereka tidak menyalahkan mana-mana pihak ekoran musibah yang melanda merupakan bencana alam, walaupun berdepan kerugian besar.

Menurutnya, Pantai Klebang menjadi lokasi paling terjejas dengan melibatkan lebih 50 peniaga berbanding Uptown Pahlawan Walk hanya 20 peniaga.

“Rata-rata peniaga tidak menyangka hujan yang turun disertai angin kencang datang secara tiba-tiba hingga mereka tidak dapat menyelamatkan makanan, minuman serta perkakasan diterbangkan angin kencang di Pantai Klebang.

“Sejurus mendapat berita mengenai kejadian tersebut, saya terus bergegas ke Banda Hilir dan Pantai Klebang meninjau keadaan yang berlaku di situ.

“Saya mendengar rintihan peniaga yang rata-rata pasrah dengan bencana yang berlaku malam tadi (kelmarin) dan mereka tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi. Cuma mereka minta bantuan MBMB untuk membersihkan kawasan yang dilanda musibah itu,” katanya ketika ditemui.

Tambah Shadan berkata, seluruh kawasan terlibat telah dibersihkan sepenuhnya dan peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×