TANJUNG MALIM: Bomba berjaya menyelamatkan 21 mangsa yang terperangkap di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim, Slim River di sini ekoran kejadian kepala air yang menyebabkan jambatan untuk ke pusat rekreasi terkenal itu runtuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, 21 mangsa itu merangkumi 14 orang dewasa dan tujuh kanak-kanak termasuk dua penduduk kampung yang terperangkap sama.
“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Komander operasi mengarahkan anggota membuat teknik merentas sungai (river crossing) menggunakan sistem tali (highline) untuk memindahkan mangsa ke kawasan selamat.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Eco-Park untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut seorang mangsa, Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar berkata, beliau sekeluarga hanya sempat khemah kira-kira satu hingga dua minit sebelum berlakunya kejadian kepala air.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya hanya berjaya selamatkan kereta namun yang lain-lain musnah dihanyutkan arus deras.
“Kami berlindung di pos pengawal dan bertahan di kem tersebut kerana jambatan telah runtuh,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, mereka hanya makan apa yang ada dan tidur sehingga Subuh sebelum ramai anggota penyelamat datang menyelamatkan mereka. – UTUSAN










