SOALAN
Saya sudah berkahwin 10 tahun. Dulu suami mesra tetapi sejak ada telefon pintar, dia lebih suka melayan telefon daripada saya. Dia suka melihat konten ilmu agama yang memang bermanfaat, masalahnya saya tidak suka dia terlalu banyak masa menghadap telefon.
-PUAN BUNGA
JAWAPAN
Ketagihan gajet mempengaruhi segenap kehidupan manusia. Malah fenomena ini mengubah tingkahlaku, pemikiran dan gaya hidup individu.
Penggunaan gajet yang tiada batasan banyak memberi kesan negatif terutamanya kepada generasi kini tidak kira golongan dewasa, remaja, kanak-kanak dan juga warga emas. Hal ini amat membimbangkan.
Walaupun suami menghabiskan masa dengan melihat konten berilmu, namun perbuatan tersebut boleh menyebabkan perhubungan dalam kekeluarga semakin menjauh.
Anak dan isteri mula merasa terpinggir, kurang perhatian dan makan hati dek kerana sikap bapa yang sedemikian.
Berikut beberapa cadangan untuk membantu puan:
a)Fahami keperluan suami – Belajar untuk memahami bahawa setiap orang mempunyai hobi tersendiri untuk melepaskan tekanan atau memilih masa bersantai-santai. Elakkan daripada terus menyalahkan suami dan usaha untuk memahaminya dengan sebaik mungkin.
b)Komunikasi Terbuka – Ambil masa apabila berduaan dengan suami untuk bercakap secara personal. Nyatakan apakah perasaan yang puan rasakan dengan cara yang lembut. Ingatkan suami bahawa puan dan anak-anak sangat memerlukan perhatian dan kemesraan seorang ayah apabila berada di rumah.
c)Tetapkan batasan waktu tanpa gajet – Cadangkan waktu yang bersesuaian tanpa penggunaan gajet semasa berada dalam rumah. Contohnya, semasa makan malam, menonton TV dan sebelum tidur. Ini boleh menjadi masa yang berkualiti untuk menjalinkan kemesraan dan mengeratkan perhubungan dalam keluarga.
d)Melakukan aktiviti bersama keluarga – Cari aktiviti yang boleh dilakukan bersama seperti menonton televisyen, bermain dam, congkak dan sebagainya. Mungkin puan juga boleh melibatkan diri dalam hobi atau bahan tontonan yang diminati suami.
e)Perancangan keluarga – Rancang masa untuk bersama-sama. Ambil cuti untuk berdua-duaan dengan suami supaya puan dapat meluangkan masa hanya dengan suami tanpa gajet dan anak-anak.
f)Contoh baik – Tunjukkan contoh yang baik dengan mengurangkan penggunaan telefon ketika bersama suami. Ini boleh menggalakkan suami puan untuk berbuat perihal yang sama.
g)Rujukan kepada profesional – Jika perbincangan tidak membuahkan hasil, puan boleh pertimbangkan untuk mengajak suami menjalani sesi kaunseling dengan kaunselor untuk membantu mengatasi masalah ini.
Mudah-mudahan, dengan pendekatan yang penuh kasih sayang dan komunikasi yang baik, puan dan suami dapat mencapai kesepakatan dalam keluarga.










