KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di tempat mengambil wuduk wanita sebuah surau di Bachok dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irfan Adnani Adnan, 20, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di tempat mengambil wuduk wanita sebuah surau di Bachok dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi pada 6 Ogos lalu.
Muhammad Irfan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Fazuny Mohd. Noor.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan, namun Fazuny memohon ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi pihak anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.










