MUAR: Seorang bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen di negeri ini didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Zainoor Juma’at, 45, yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Bayani Mohd. Nor.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyentuh anggota badan remaja berusia 16 tahun itu bagi maksud seksual di Kolam Renang Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat pada pukul 6 petang, 25 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Aishah Mohd. Rais.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










