Anak, ibu cemas dakwa hampir jadi mangsa ragut - Utusan Malaysia

Anak, ibu cemas dakwa hampir jadi mangsa ragut

Ragut
TANGKAP layar seorang lelaki dipercayai peragut menghampiri kereta dinaiki seorang wanita dan ibunya ketika berada dekat sebuah pusat beli belah di Bukit Tinggi, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang wanita dan ibunya mengalami detik mencemaskan apabila mendakwa hampir diragut ketika didatangi seorang lelaki tidak dikenali dekat tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Bukit Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam media sosialnya, wanita itu mendakwa, dia mahu ke sebuah bank di pusat beli belah berkenaan pada waktu malam untuk memasukkan duit menerusi mesin deposit tunai.

“Plan nak masuk duit dekat sana, baru parking, hendak turun dari kereta tiba-tiba ternampak seorang lelaki datang ke pintu kereta. Sudah buka pintu sedikit, terus tarik pintu, tutup dan kunci.

“Yang jalan malam sendirian terutama perempuan, tolonglah berhati-hati. Tadi saya dan ibu hampir nak kena ragut dekat kawasan parking, tetapi alhamdulillah sempat tutup dan kunci pintu,” katanya.

Malah menerusi akaun sama, dia turut berkongsikan wajah lelaki dipercayai peragut menerusi video menyebabkan hantaran tersebut tular.

Dalam video sama, dia juga mengarahkan seorang lagi wanita berada di kawasan sama supaya masuk ke kereta dengan segera kerana melihat lelaki terbabit masih berada di situ.

Sementara itu, Ibu pejabat Polis Daerah Klang Selatan sudah dihubungi pemberita dan sedang menunggu pengesahan kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×