IPOH: Selepas membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan Orang Asli dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, tumpuan UMNO Perak kini beralih ke Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) bermula hari ini.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut memberi petunjuk yang baik menuju ke pentas PAU 2024.
Katanya, UMNO Perak akan menggunakan momentum kemenangan tersebut untuk memastikan parti itu kembali mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu.
“Paling penting sekali kita hendak kembalikan kepercayaan kepada UMNO itu sendiri. Dalam banyak perbahasan kita kena menjuruskan kepada bagaimana kita nak kembalikan perhatian rakyat khususnya orang Melayu.
“Untuk memberi mereka keyakinan, harapan bahawa UMNO adalah organisasi politik tertua yang mampu meneruskan kebajikan yang selama ini dibuat,” katanya semasa majlis pelancaran Pakej Mesra Muslim Kembara Islamik di sini semalam sempena Bulan Pelancongan Islamik dan Tahun Melawat Perak 2024.
Calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang PRK tersebut dengan majoriti 3,352 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail.
Semasa PRK tersebut, jentera BN Perak tertumpu di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Puian dan Pos Simpor yang merupakan kawasan Orang Asli.
Mengulas lanjut mengenai PAU 2024 yang bermula hari ini hingga Sabtu ini, Saarani berkata, UMNO Perak akan mempunyai jurucakap negeri termasuk untuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Katanya, ada isu-isu sudah diberi tanggungjawab kepada jurucakap terlibat untuk berucap.
“Keputusan Nenggiri sebagai salah satu ‘signal’ yang baik, tengok (PRK DUN) Mahkota pula. Khamis malam kita ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi. Daripada situ, kita (BN Perak) akan tahu kita akan bertugas di mana.
“Lain padang, lain belalang. Di mana kita tahu tempat bertugas, baru kita akan tahu kaedah dan strategi yang sesuai untuk kita,” katanya. – UTUSAN











