KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (Esscom), Senior Asisten Komisioner (B) Datuk Mat Zaki Md. Zain memfailkan saman tuntut ganti rugi RM100 juta dan permohonan maaf daripada 11 individu atas dakwaan penahanan salah dan pendakwaan niat jahat terhadapnya dalam kes pembunuhan pemandu e-hailing di Tawau, tahun lalu.
Mat Zaki dalam kenyataan berkata, beliau memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Tawau melalui Tetuan Lincon & Co di Sandakan, Sabah pada 15 Ogos lalu manakala tiga lagi bekas pegawai Esscom yang turut didakwa dalam kes sama akan melakukan perkara sama tidak lama lagi.
Beliau menamakan 11 individu sebagai defendan iaitu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, Dr Mohd Hakim Hashom, Timbalan Penguasa, Yusman Syahri Marinsah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah.
Menurut kenyataan tersebut tindakan saman itu diambil setelah Mat Zaki dan anggota ESSCOM yang lain terus ditekan dari pelbagai sudut termasuk dipindahkan dari ESSCOM dan dipindahkan keluar dari kontinjen Sabah tanpa justifikasi yang jelas.
“Walaupun kami dilepaskan dari tuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana terbukti tidak bersalah, masyarakat dan rakan sepasukan menganggap kami pelaku bersalah dalam kes terhadap kami.
“Tuduhan tanpa bukti ini telah menjejaskan reputasi saya dalam perisikan Malaysia, Filipina dan Indonesia,” katanya.
Katanya, walaupun telah dilepaskan daripada tuduhan oleh mahkmah selepas setahun direman di penjara, pihak yang bertanggungjawab tidak berusaha untuk memohon maaf atau memulihkan reputasi mereka yang terjejas teruk.
“Seorang saksi yang pada mulanya merupakan suspek utama, telah membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan kerana mengambil sepasang gunting untuk menikam mangsa di tempat kejadian.
“Timbalan pendakwa raya kemudian tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kami dan kami diberi DAA oleh hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.
Mat Zaki berkata, mereka telah memfailkan saman itu bukan semata-mata untuk menuntut ganti rugi atau mahu memalukan serta memburukkan sesiapa, tetapi hanya untuk menuntut keadilan.
Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Tawau melepas dan membebaskan Mat Zaki daripada pertuduhan bersubahat membunuh dan tujuh yang lain daripada pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing.- UTUSAN










