Ditipu RM1 juta selepas enam tahun melabur forex - Utusan Malaysia

Ditipu RM1 juta selepas enam tahun melabur forex

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA : Seorang lelaki hanya menyedari dia ditipu selama enam tahun selepas kerugian RM1 juta selepas diperdaya sebuah syarikat menawarkan skim pelaburan mata wang forex.

Ejen insuran, Lee Jian Shiun, 32, berkata, dia merupakan antara 400 mangsa penipuan skim pelaburan yang dipercayai didalangi oleh tiga individu termasuk dua warga asing membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM100 juta.

Menurut Jian Shiun, dia mula diperkenalkan dengan skim pelaburan itu oleh rakannya pada 2016 yang menawarkan pulangan keuntungan sebanyak dua peratus setiap bulan selain ganjaran yang lumayan sekiranya berjaya membawa masuk pelabur lain.

Katanya, dia dibawa berjumpa seorang lelaki warga asing mengaku sebagai ketua broker yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat berkenaan.

“Pada awalnya, saya memang dapat pulangan seperti dijanjikan setiap bulan dan mula yakin bahawa syarikat itu menjalankan pelaburan sah.

“Saya kemudian membawa masuk beberapa ahli keluarga dan rakan untuk melabur bersama dan semuanya menerima pulangan mereka.

“Bagaimanapun, pada 2022 saya dan rakan pelabur tidak menerima pulangan dijanjikan dengan syarikat memberi pelbagai alasan termasuk mendakwa masalah berlaku daripada pihak bank,”katanya dalam sidang akbar di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, dia menyedari ditipu selepas ketua broker itu tersalah menghantar mesej mengenai pembahagian wang pelabur bersama dua rakan kongsinya itu ke dalam kumpulan WhatsApp.

“WhatsApp berkenaan membuktikan wang kami sebenarnya tidak dilaburkan sebaliknya dibahagikan antara mereka.

“Selepas kejadian itu dia mendesak wangnya dikembalikan namun syarikat gagal berbuat demikian sebelum saya nekad membuat laporan polis kerana ditipu sindiket skim pelaburan terbabit,” jelasnya.

Seorang lagi mangsa mahu dikenali Ethan, 32, turut mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas menyertai skim pelaburan itu pada 2017 menuntut wang miliknya dan ahli keluarga serta rakan dikembalikan sindiket terbabit.

Ethan mendakwa diperkenalkan dengan skim itu oleh seorang rakannya yang memaklumkan syarikat terbabit kukuh dan mempunyai ramai pelabur di seluruh rantau Asia menyebabkan dia yakin untuk melabur.

“Selama lima tahun melabur, saya memang dapat pulangan pelaburan dan ganjaran membawa masuk pelabur lain mengikut tempoh ditetapkan walaupun kadangkala ada terlambat bayar tapi saya masih percaya dengan skim itu.

“Namun bermula 2022, saya dan rakan tidak lagi menerima pulangan seperti biasa dengan macam-macam alasan tidak masuk akal. Selepas lebih setahun menunggu, saya dan rakan pelabur tampil buat laporan polis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×