JERANTUT: Pengusaha tanaman pisang terkejut apabila melihat 150 batang pokok pisang tanduk dan berangan musnah akibat diceroboh kawanan gajah liar di kebun berdekatan Blok 20 ladang sawit Felda Kota Gelanggi Dua di sini.
Pengusaha terbabit, Muhamad Ridzuan Che Dan, 41, berkata, pokok pisang berusia sembilan bulan yang sudah mengeluarkan hasil musnah apabila batangnya ditumbangkan gajah liar untuk makan umbut, pucuk muda dan buah.
“Saya anggarkan kawanan gajah liar ini terdiri antara lapan hingga 12 ekor termasuk anak masuk ke kebun pisang ini kira-kira pukul 1 pagi sehingga menjelang waktu Subuh untuk makan tanaman ini.
“Turut rosak pagar dawai dan saluran paip poly yang dibina dengan belanja RM8,000 untuk mengelakkan ancaman babi serta menyalurkan air daripada anak sungai ke tanaman pisang dan durian musang king seluas 1.2 hektar,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini hari ini.
Menurut Muhamad Ridzuan, sebelum ini dia diberitahu oleh rakan peneroka di situ tentang gajah liar kerap berkeliaran di hutan berdekatan Sungai Kijeng tidak jauh dengan kebun sawit Blok 20 pada bulan lalu, tetapi masih tidak menceroboh tanaman pisang dan musang king miliknya.
“Sehinggalah saya sampai di kawasan tanaman ini pada pukul 8 pagi hari ini keadaan benar realiti apabila kesemua tanaman pisang musnah dan mujurlah. 200 batang pokok durian musang king yang berusia tiga tahun tidak diganggu.
“Pokok pisang tanduk dan berangan ini merupakan kali keempat bakal mengeluarkan hasil selepas mula ditanam sejak dua tahun lalu pernah diceroboh sekali oleh gajah liar yang datang dari Hutan Simpan Lepar, tetapi cuma beberapa batang pokok sahaja dimusnahkan,” katanya.
Menurutnya, kemusnahan tanaman pisang tersebut menyebabkan dia mengalami kerugian RM20,000 termasuk pengurusan tanaman, pembinaan pagar dan paip poly.
“Saya juga berdepan masalah kewangan sebagai modal selepas ini untuk memulihkan semula tanaman ini termasuk pembinaan pagar dan paip poly yang dijangka mengambil masa setahun menunggu pisang yang ditanam mengeluarkan hasil sebagai pendapatan semula,” katanya.
Ujarnya, dia juga berharap kerajaan dapat membina pagar elektrik di sempadan hutan Felda Kota Gelanggi Dua berdekatan Sungai Kijeng yang kini menjadi tempat ‘persembunyian’ kawanan gajah liar dan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan di sekitar ladang sawit. – UTUSAN










