IPOH: Dua lelaki dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan hingga mencederakan mangsa, dua minggu lalu.
Tertuduh, Alson Ik Kai Jun, 20, dan Ling Siaw Hock, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil dua buah telefon bimbit jenama Huawei dan Vivo, dua kad pengenalan dan wang tunai RM5,000.
Semasa melakukan rompakan tersebut, mereka juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Tou Siow Lung, 21; Emilie Yip Phooi San, 29; Keng Zhen Wei, 23; Wong Swee Chon, 53; dan Loi Woon Ye, 34.
Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar di dalam daerah Manjung pada pukul 12.30 tengah malam, 8 Ogos 2024.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun peguam Sandeep Singh Jit memohon agar jumlah jaminan minimum diberikan kepada dua anak guamnya.
Sandeep dalam mitigasinya berkata, anak guamnya, Siaw Hock yang telah berkahwin itu merupakan seorang kontraktor bebas dan tidak mempunyai pendapatan tetap manakala Kai Jun pula bekerja dengan lelaki itu dan masih bujang.
Mahkamah kemudian membenarkan Siaw Hock dan Kai Jun masing-masing diikat jamin RM12,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 September depan.
Media pada 13 Ogos lalu melaporkan insiden tiga sekeluarga dan dua lelaki lain cedera diserang sekumpulan empat individu bersenjatakan kayu dan pisau.
Berdasarkan siasatan, mangsa yang merupakan peniaga jubin telah berjaya mengecam seorang daripada suspek sebagai ah long dan dia juga mengakui ada membuat pinjaman sebanyak RM1,000. – UTUSAN










