Nabila Razali, ibu didenda RM480, pandu kereta tanpa LKM

Nabila Razali, ibu didenda RM480, pandu kereta tanpa LKM, insurans

NABILA RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penyanyi dan pelakon, Nur Nabila Mohd. Razali, 31, atau Nabila Razali bersama ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membenarkan dan memandu sebuah kereta dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, Januari lalu.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah orang kena saman (OKS), Shamsidah Abdul Rahman, 58, yang juga mewakili Nabila sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan dua pertuduhan terhadap Nabila, dia sebagai pemilik sebuah kereta didapati membenarkan ibunya, Shamsidah menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh pada 29 September 2023 dan tanpa polisi insurans pihak ketiga.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam daerah Alor Gajah pada 9 Januari 2024.

Sementara itu, ibunya turut berdepan dua pertuduhan iaitu memandu menggunakan kenderaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Sabit kesalahan mereka berdua berdepan denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Bagi kesalahan tiada polisi insurans, Nabila dan ibunya didakwa mengikut Seksyen 90 (1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90 (2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau keduanya sekali dan boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Fadzil Abu manakala OKS tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120 bagi setiap OKS atau penjara sehari jika gagal bayar. OKS membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×